Salahuddin yakin Pas tidak akan tarik balik ‘Amanat Haji Hadi’

Salahuddin yakin Pas tidak akan tarik balik ‘Amanat Haji Hadi’

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub yakin, parti Pas tidak akan menarik balik ‘Amanat Haji Hadi’ yang dianggap kitab azimat mereka yang disimpan sewaktu mahu berpisah.

“Hari ini mereka mahu bersama, jadi kalau esok mereka nak berpisah atau berkelahi, kitab azimat itu lah yang mereka akan buka esok.

“Itu pengalaman saya dulu lah masa dalam parti lama tersebut. Jadi, saya yakin amanat Tok Guru (Haji Hadi) itu tidak akan ditarik balik.

“Sebab itu saya katakan, sekarang Pas mesra dengan Umno, tetapi tunggulah nanti bila nak berpisah. Sebab itu, kitab azimat (Amanat Haji Hadi) tidak akan ditarik balik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dokumen Pengembangan Perikanan (DPP), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), di Putrajaya, hari ini

Salahuddin berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan wartawan berhubung kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu menarik balik kenyataan Umno parti kafir terlebih dahulu, sebelum kedua-dua parti memuktamadkan kerjasama mereka melalui pemeteraian satu piagam pada Sabtu ini.

Menurut Dr Mahathir, Presiden Pas masih belum menarik balik secara rasmi kenyataan itu bagi membolehkan mereka bekerjasama dengan Umno.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pulai turut menceritakan pengalamannya sewaktu bersama parti lama tersebut.

“Pengalaman yang sama juga sewaktu Pas menjalin tahaluf siyasi dengan Dap. Tahun 2008, saya adalah Naib Presiden Pas waktu itu, jadi dengan segala hujah yang mereka ada ketika itu, mereka mengatakan kita boleh berkawan dengan Dap dan kita pun menjalinkan hubungan dengan Dap.

“Malangnya, pada 2015 mereka (Pas) rasa perlu berpisah daripada Pakatan Rakyat. Jadi mereka keluarkan hujah (alasan benarkan tindakan keluar).

“Sebab itu saya katakan tadi, bahawa sekarang ini mereka berasa mesra dengan Umno, ada keperluan untuk kawan dengan Umno, tapi tunggulah sebab kitab azimat itu tak ditarik balik,” katanya lagi.

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan bersama sebelum ini, mengumumkan kerjasama kedua-dua parti akan diputuskan melalui pemeteraian piagam dan MoU pada 14 September ini.

Piagam dan MoU itu akan ditandatangani sendiri presiden kedua-dua parti pada majlis yang bakal dihadiri semua pemimpin Umno dan Pas dari seluruh negara.