Malaysia Dateline

Salahuddin ziarah mangsa rumah terbakar

Datuk Seri Salahuddin Ayub (kanan) menyerahkan sumbangan kepada wakil ahli keluarga mangsa kebakaran.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Seri Salahuddin Ayub semalam meluangkan masa untuk bertemu dengan keluarga mangsa kebakaran di Skudai Kiri, Johor.

Menurut Pegawai Khas Ahli Parlimen Pulai, Sharon Teo Siew Hui berkata, sumbangan berbentuk wang tunai, pakaian dan kelengkapan harian telah diberikan bagi usaha meringankan beban yang dipikul oleh 9 ahli keluarga mangsa kebakaran tersebut.

“Sumbangan ini disediakan YB (Salahuddin Ayub) sebagai Ahli Parlimen kawasan ini (Pulai) sebagai tanda prihatin tentang nasib mangsa kebakaran tersebut yang mana hari ini mereka terpaksa menumpang di dewan serbaguna di kawasan ini.

“Kita juga akan berusaha dari masa ke semasa untuk memastikan bahawa keperluan keluarga ini cukup bagi menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung di negara ini dan ini juga usaha kami yang berterusan dalam membela nasib keluarga ini.

“Selain itu kita juga akan mencari jalan untuk berusaha mencari kediaman sementara kepada keluarga tersebut memandangkan dalam keadaan sekarang mereka terpaksa menumpang di dewan serbaguna di Skudai Kiri. Inilah usaha kami bagi memastikan keadaan rakyat di seluruh parlimen Pulai ini terjaga,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini mengikut rekod kebakaran rumah yang berlaku pada 9 April 2020 yang lalu telah memusnahkan penempatan 9 ahli keluarga yang berpunca daripada bekas telur yang dibakar bagi menghalau lebah di dalam kediaman tersebut.