Salahudin Ayub potret pemimpin dari desa

Salahudin bersama para tetamu yang terdiri dari keluarga sebelah ibunya di Majlis Rumah Terbuka Harirayaanya di Serkat.

Kampung Serkat, Pontian, yang penghujung jalannya adalah Tanjung Piai, dataran paling selatan benua Asia, mencatat sebuah sejarah kecil tanah air, apabila seorang putera di kampung itu – Salahudin Ayub – mengukir nama, dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam kabinet Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr. Mahathir Muhamad.

Beliau adalah berdarah campuran, di mana ibunya, Hajah Aminah, berketurunan Cina. Sementara ayahnya, Cikgu Ayub adalah seorang guru.

Kebanyakan penduduk di Serkat dan sekitarnya adalah bertani dan nelayan yang diwarisi sejak zaman berzaman. Ramai juga di antara mereka merantau ke Singapura dan bekerja di sana, kerana sukar mendapat pekerjaaan di Serkat.

Menaiki kereta ke Johor Bahru lebih kurang sejam saja. Kedudukan Kampung Serkat, yang pengujungnya adalah Tanjung Piai sangat menarik di mana Parlimen Tanjung Piai dimenangi oleh Dr. Farid dari parti Bersatu.

Ini bermakna kawasan paling selatan negeri Johor diwakili oleh Pakatan Harapan.

Salahudin mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya di kampungnya dengan dihadiri oleh begitu ramai tetamu pelbagai kaum, termasuk saudara mara sebelah ibunya yang berketurunan Cina itu.

Ini menggambarkan bahawa Salahudin dan keluarganya adalah potret rakyat Malaysia pelbagai kaum.

Beliau memenangi kawasan Parlimen Pulai atas tiket Pakatan Harapan dan Dun Simpang Jeram.

Negeri Johor, tempat asal Umno dilahirkan 70 tahun lalu, mencipta sejarah dengan kemenangan calon Pakatan Harapan di peringkat Parlimen dan Dun yang membolehkan Pakatan Harapan menubuhkan kerajaan negeri.

Sokongan rakyat Johor kepada Pakatan Harapan ini bukan semata-mata datang dari kaum Cina, tetapi sebahagian besarnya datang dari orang Melayu sendiri.

Kawasan di mana majoriti pengundi Melayu seperti Tanjung Piai, Muar, Batu Pahat, Johor Bahru sendiri, Pulai dan lain-lain menunjukkan pengundi Melayu ikut bersama kaum lain melakukan perubahan. Ini fakta yang tidak boleh dipadam.

Kerana itu kemenangan Salahudin dan Dr. Farid adalah antara manifestasi jelas bahawa gelombang tsunami rakyat ini turut disertai secara nyata dan besar-besaran oleh orang Melayu juga.

Salahudin adalah antara pemimpin yang sangat sedar akan perubahan sikap pengundi Melayu ini.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
7 user votes x 9.6