Salahudin Menteri Pertanian, Dr Dzul Kesihatan, Mazlee Malik Pendidikan

Salahudin dilantik sebagai Menteri Pertanian manakala Dr Dzulkefly sebagai Menteri Kesihatan.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahudin Ayub dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani manakala Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dilantik sebagai Menteri Kesihatan.

Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Mazlee Malik, Ahli Parlimen Simpang Renggam, dilantik sebagai Menteri Pendidikan menggantikan penama awal yang dinamakan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkara ini dimaklumkan oleh  Dr Mahathir dalam satu siaran medianya selepas menghadap Yang Dipertua Agong jam 5 petang tadi.

Turut dilantik adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Azmin dijangka akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor jika menerima perlantikan ini.

Rina Mohd Harun, Ketua Srikandi Bersatu yang menang di Parlimen Titiwangsa dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke dilantik sebagai Menteri Pengangkutan, Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikais dan Multimedia manakala M Kulasegaran sebagai Menteri Sumber Manusia.

Dalam pada itu, Zuraida Kamarudin pula dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail kekal sebagai Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.

Sebelum ini, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu telah diumumkan sebagai Menteri Pertahanan, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin Menteri Dalam Negeri manakala Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

Kesemua mereka termasuk Timbalan Perdana Menteri dijadualkan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertuan Agong Isnin 21 Mei ini jam 11.30 pagi.

 

9.0
OVERALL SCORE
: 10.0
4 user votes x 8.8
CATEGORIES
TAGS