Salahudin mula masuki Kementerian Pertanian hari ini

Salahudin mula memasuki Kementerian Pertanian dengan diperhatikan oleh Ketua Setiausaha beliau, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahudin Ayub yang menang di kerusi Pulai dalam PRU 14 lalu mula memasuki pejabatnya di Kementerian Pertanian di Wisma Tani, Putrajaya pagi ini.

Walaupun telah mengangkat sumpah petang Isnin lepas, beliau hanya sempat memasuki pejabatnya hari ini selepas hampir kesemua kakitangan kementeriannya berkumpul di MAEPS Serdang semalam.

Beliau juga telah mengadakan pertemuan pertama dengan mereka di sana sambil berbuka puasa.

Salahuddin tiba di kementerian berkenaan pada 7.30 pagi sebelum dibawa ke pejabatnya dan memantau keadaan sekeliling.

Selepas mendengar taklimat daripada beberapa pegawai kanan kementerian terbabit, Salahuddin kemudiannya dibawa ke tempat mengetik perakam waktu pada 8.50 pagi sebagai simbol memasuki kementerian itu sebagai menteri secara rasmi.

 

MAJLIS PERUNDING

Salahudin diberikan taklimat asas oleh KSU Kementerian, Dr Ismail dan pegawai kanan lain, selepas memasuki pejabat itu pagi ini.

Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang diterajui beliau akan menubuhkan Majlis Perundingan Pertanian selewat-lewatnya bulan depan bagi membincangkan mengenai pelbagai isu di bawah kementerian berkenaan.

Salahuddin berkata, majlis perundingan dijangka dapat membuat beberapa penambahbaikan khususnya untuk meningkatkan produktiviti asas tani.

“Selain itu, majlis perundingan ini dapat membuat penambahbaikan berkaitan teknologi pertanian, pemasaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Diharapkan dengan tertubuhnya majlis perundingan ini, ia akan memberi kita input baharu serta dapat memperkasakan inovasi sama ada untuk jangka masa panjang atau pendek,” katanya kepada pemberita selepas memasuki pejabatnya di kementerian berkenaan secara rasmi hari ini.

Salahuddin berkata, majlis perundingan itu akan dianggotai beberapa tokoh berpengalaman dalam bidang pertanian.

Beliau berkata, Ketua Setiausaha kementerian dan timbalannya sudah mempunyai senarai calon akan menganggotai majlis perundingan terbabit.

“Tetapi, buat masa ini kita akan teliti terlebih dahulu sama ada mereka ini benar-benar layak dan boleh memberi komitmen untuk penambahbaikan kementerian ini,” katanya.

Ditanya sama ada pengerusi majlis perundingan berkenaan akan dipengerusikan dari kalangan ahli politik, Salahuddin berkata, ia akan dipilih daripada golongan profesional.

“Saya akan teliti manifesto Pakatan Harapan (PH), janji kami kepada rakyat supaya ahli lembaga mestilah daripada golongan profesional yang mempunyai latar belakang bersih dan boleh mengurus tadbir dengan baik supaya isu lama tidak berulang,” katanya.

6.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 2.0
CATEGORIES
TAGS