Malaysia Dateline

Salam Aidiladha, ini kaifiyat solat sunat Hari Raya Korban

Umat Islam di negara ini menyambut Aidiladha, 10 Zulhijah 1443 Hijrah atau juga dipanggil Hari Raya Korban pada hari ini.

Hari Raya Aidiladha tahun ini sama seperti Aidilfitri lalu amat bermakna selepas dua tahun masyarakat Muslim di negara ini dikenakan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, orang ramai diingatkan supaya terus berwaspada apabila menziarahi ahli keluarga sepanjang sambutan Hari Raya Aidiladha ini bagi mengelak penularan kes harian Covid-19.

Semoga ibadah korban kita kali ini dapat dilakukan dengan sempurna dan diberkati. Semoga segala ibadah yang dikerjakan diterima Allah SWT serta selamat sampai ke destinasi.

Antara perkara sunat sempena Hari Raya Aidiladha adalah seperti berikut:

  • Mandi sunat Hari Raya
  • Memakai pakaian terbaik (tidak semestinya baharu) dan bersih sebagai tanda syukur kepada Allah
    Memakai haruman dan wangian yang menyenangkan.
  • Tidak makan sebelum solat. Sunat menjamah makanan selepas pulang daripada solat Aidiladha.
  • Menggunakan jalan berbeza sewaktu pergi dan pulang dari masjid. Lebih afdal dengan berjalan kaki jika masjid tidak terlalu jauh.
  • Bertakbir, tahmid dan tahlil bermula dari subuh 9 Zulhijjah hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijah (Takbir Muqayyad).
  • Menunaikan sunat hari raya dan mendengar khutbah penuh penghayatan.
  • Mengucapkan ucapan hari raya
  • Ziarah menziarahi kaum keluarga, jiran tetangga, dan sahabat handai.
  • Elakkan menyambut hari raya dengan perkara yang ditegah syarak.
  • Banyakkan berdoa.

Hukum menunaikan solat Hari Raya

Solat Hari Raya Aidiladha hukumnya adalah sunat muakkad yang sangat dianjurkan kerana Rasulullah tetap dengan Solat Hari Raya ini selama baginda hidup.

Waktu solat Hari Raya

Solat Aidiladha diadakan pada 10 Zulhijjah. Ia dilakukan selepas naiknya matahari dan sebelum tergelincirnya matahari.

Niat solat Hari Raya Aidiladha

“Sahaja aku sembahyang sunat Hari Raya Aidil Adha dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”.

Dilakukan sebanyak dua rakaat pada Hari Raya AidilAdha dengan cara berjemaah.

Panduan solat

Rakaat pertama: Doa Ifititah terlebih dahulu. Selepas itu – Takbir 7 kali (setiap kali takbir diikuti dengan bacaan subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar dan kemudian al-Fatihah dan surah al-Kafirun (atau surah pilihan imam). Kemudian lakukan rukun seterusnya seperti solat biasa. Sehingga selesai salam kedua.

Rakaat kedua: Takbir 5 kali (setiap kali takbir diikuti dengan bacaan subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar dan Al-Fatihah serta Al-Ikhlas (atau surah pilihan imam). Kemudian lakukan rukun seterusnya seperti solat biasa.