Salam damai DAP diperlekeh, anggap pembangkang akui kekuatan Pas

Salam damai DAP diperlekeh, anggap pembangkang akui kekuatan Pas

Pas melalui lidah rasminya, Harakah edisi terkini mempersendakan kesediaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengajak Pas berdamai bagi tujuan menumbangkan kerajaan kleptokrasi yang ditunjangi Umno-BN.

Semakan Malaysia Dateline terhadap edisi terbaru akhbar itu mendapati isu itu disentuh pada tajuk berita utama di N3, “Awas wayang DAP” dengan memetik kenyataan Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan bahawa Pas tidak akan teruja dengan DAP.

Kritikan pedas terhadap DAP dilanjutkan di halaman N4 dan N5 dengan menampung enam laporan berita, antaranya reaksi Naib Presiden, Idris Ahmad dan AJK Pas Pusat, Norazli Musa atau lebih dikenali sebagai Ustaz Taliban serta artikel penuh Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

“Setelah sekian lama DAP menghentam Pas, tetapi kenapa tiba-tiba sekarang hendak mengajak berdamai dengan Pas. Tidak perlu bercerita isu hendak menyelamatkan Malaysia kerana Pas sejak dahulu lagi bukan sahaja hendak menyelamatkan Malaysia, tetapi hendak menyelamatkan rakyat negara ini sehingga ke akhirat,” dipetik kata Norazli.

Sisipan Fikrah dalam akhbar Harakah mempersenda parti-parti pembangkang yang didakwa melutut kepada Pas.

Turut menempelak Kit Siang adalah Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas, Dr Rosni Adam dan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), N. Balasubramaniam manakala nada Pengerusi Kongres Rakyat, Azmi Abdul Hamid dlihat agak lembut apabila dilapor berkata, Pas diyakini akan menggunakan pendekatan yang matang untuk mengadakan rundingan menjelang pilihan raya.

Terus bernada garang menyerang DAP dan pada masa sama memperlekeh Amanah, dapat diteliti pada sisipan Fikrah akhbar tersebut dengan tajuk muka depan, “Melutut kembali…” disusuli dua halaman penuh laporan bercorak fokus itu.

Halaman F2 mengisi artikel Pengarah Penerangan dan Media Baru, Dewan Pemuda Pas, Izwan Abdul Halim tampil dengan kupasan, “U-turn: Kenyataan Kit Siang buat PAN ‘kesipuan'” manakala Timbalan Presiden Generasi yang dilihat ‘klon’ kepada Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Naraza Muda menulis, “Keangkuhan DAP, akhirnya tertunduk melutut”.

Selanjutnya di muka F3, penulis yang memakai gelaran Alang Shukrimun tampil dengan kupasan, “Nilai Pas naik mendadak!” diikuti sekali lagi Izwan yang juga pemberita Harakah menghentam Setiausaha Organisasi Amanah, Suhaizan Kaiat melalui tulisannya, “Kecelaruan pemikiran politik Suhaizan terserlah”.

TAGS