Malaysia Dateline

Salam perpisahan buat Parlimen, kita akan bangkit semula – Chin Tong

Perpisahan sementara buat Parlimen

Tempoh tugas saya sebagai Senator berakhir pada Jumaat 16 Julai ini. Saya mengucapkan selamat berpisah buat sementara kepada Parlimen Malaysia yang merangkumi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Di institusi yang mulia inilah saya diberi penghormatan untuk berkhidmat sejak mula dipilih sebagai Ahli Parlimen pada 2008.

Dengan kebenaran dan restu daripada DAP, saya ingin bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, dengan harapan para pengundi akan mengembalikan saya ke Dewan Rakyat sekali lagi.

Tiga belas tahun yang lalu, pengundi Bukit Bendera di Pulau Pinang telah memilih saya untuk ke Parlimen sewaktu suasana tsunami politik yang tidak dijangkakan sama sekali.

Pada 2013, saya bersama dengan Lim Kit Siang dan Teo Nie Ching telah berpindah ke Johor, di mana saya dipilih sebagai Ahli Parlimen Kluang.

Pada PRU 2018, walaupun kekal di Johor, saya berpindah kawasan, kali ini ke Parlimen Ayer Hitam yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional untuk mencabar presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Tujuan saya ialah memberi perangsang kepada pengundi di seluruh negara bahawa inilah masanya untuk perubahan, satu perjuangan hidup atau mati.

Pada 9 Mei 2018, kita rakyat Malaysia telah menang apabila berjaya menumpaskan sebuah kerajaan satu-parti yang paling tua dalam sejarah – ketika itu – melalui pilihan raya.

Bagaimanapun, saya sendiri telah kalah dengan majoriti tipis di Ayer Hitam. Saya kemudiannya dilantik sebagai Senator dan menjadi Timbalan Menteri Pertahanan pada 17 Julai 2018.

Langit Kelam

Negara kita kini berada di persimpangan. Kita menderita di bawah pemerintahan darurat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah terbukti gagal dan semakin teruk pentadbirannya. Kita juga bimbang dengan cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu menubuhkan sebuah pentadbiran yang tidak dipilih oleh rakyat, hampir sama seperti pemerintahan darurat.

Pada masa yang sama, walaupun negara teruk dilanda wabak Covid-19, ada kalangan pemimpin Umno seperti presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu mencetuskan pilihan raya mengejut, dengan harapan Umno akan menang bagi membolehkan beliau bersama Datuk Seri Najib Razak melepaskan diri daripada pelbagai kes mahkamah.

Ia juga merupakan muslihat Zahid untuk mengetepikan pencabar-pencabarnya dalam Umno, iaitu menggunakan kuasanya sebagai presiden parti bagi memastikan mereka tidak akan menjadi calon pilihan raya.

Sejak saya memasuki Parlimen, rakyat telah menyaksikan saat-saat kejatuhan Umno, daripada zaman dominasinya kepada era perpecahan yang dialaminya sekarang.

Sepanjang 13 tahun ini, hampir separuh pengundi Malaysia telah memilih alternatif bukan-Umno. pembangkang telah menerima 47%, 51% dan 48% undi popular, masing-masing pada PRU 2008, 2013 and 2018.

Rampasan kuasa Sheraton pada Februari 2020 telah mengakhiri pentadbiran Pakatan Harapan yang ketika itu dalam proses mereformasikan pentadiran negara.

Namun, 16 bulan kemudian, rakyat Malaysia hari ini menyaksikan sendiri amalan antara dua darjat, keangkuhan dan prestasi buruk Perikatan Nasional yang menganggap diri sebagai “kerajaan Melayu-Islam”.

Dengan terdedah wajah mereka yang sebenar, rakyat kini lebih terbuka untuk pentadbiran alternatif yang tidak lagi bermain dengan politik kaum dan agama.

Malaysia memerlukan satu usaha untuk “reset”, dan Parlimen boleh memulakan usaha untuk era baru ini. Reset ini boleh bermula apabila semua parti menerima hakikat bahawa tidak ada lagi satu parti dominan yang mempunyai majoriti besar. Kita perlu bersama-sama memperkukuhkan demokrasi berparlimen.

Sisi cerah di langit kelam

Dalam krisis yang berterusan ini, masih ada berita gembira untuk Malaysia. Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja bersetuju bahawa Parlimen merupakan institusi yang paling sesuai untuk menyelesaikan perbezaan politik, seperti mana yang dinyatakan dalam titah bertarikh 16 Jun.

Pentadbiran Muhyiddin perlu menamatkan pemerintahan darurat dan membenarkan Parlimen untuk menguji majoriti sebenar.

Kerajaan baharu perlu menerima hakikat bahawa tidak ada parti mampu kembali kepada era hegemoni UMNO pra-2018. Zaman “kerajaan tahu segala-galanya dan rakyat hanya menurut perintah” juga sudah lama berakhir.

Jika kerajaan terus bersikap suka berahsia, dan jika pihak eksekutif membenarkan hanya para menteri dan beberapa pegawai tinggi kerajaan untuk menentukan pelan, dasar dan keputusan nasional, maka bersedialah menghadapi kemarahan, ketidakpercayaan dan kebangkitan rakyat yang semakin sedar tentang hak dan tanggungjawab mereka.

Parlimen kita, dengan sistem jawatankuasa yang berfungsi penuh dan bersifat inklusif, perlu menjadi medan untuk kerajaan dan pembangkang mencapai kata sepakat dan mencari jalan kompromi. Ia juga perlu mendapatkan maklum balas awam, dan mempunyai amalan semak dan imbang bagi membolehkan kerajaan tidak melakukan kesilapan besar yang sukar untuk diperbetulkan semula.

Harapan ikhlas

Ada tiga kategori Senator di Malaysia: Pertama, 26 orang mewakili 13 negeri dan dipilih melalui usul Dewan Undangan Negeri; Kedua, 4 orang mewakili Wilayah-wilayah Persekutuan; dan Ketiga, 40 orang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Harapan saya ialah pada suatu hari nanti semua Senator akan dipilih secara langsung oleh pengundi melalui peti undi.

Sama seperti sistem senator di Australia, mereka sepatutnya mewakili kepentingan negeri masing-masing, dengan Sabah dan Sarawak diberi kelebihan dan keutamaan.

Saya berjiwa demokrat. Saya menolak andaian bahawa musuh politik perlu dihancurkan. Walaupun lawan kita adalah Umno, yang pernah mahu menghapuskan DAP/Pakatan Rakyat/Pakatan Harapan suatu ketika dahulu, kita tidak perlu mengulangi apa yang mereka buat kepada kita.

Malah, niat dan perbuatan buruk itu tidak akan berjaya. Buktinya, DAP tetap kekal hingga ke hari ini.

Kita perlu hidup bersama. Kita perlu membina semangat dwi-partisan dan menghormati lawan kita, termasuk Umno. Parlimen adalah medan untuk kita bertemu dan berdebat dengan sopan, bijaksana dan bertamadun.

Demokrasi bermakna kita menerima perbezaan sebagai satu kekuatan, dan bukannya kelemahan.

Di negara-negara yang mengamalkan demokrasi, Parlimen tidak pernah diwujudkan untuk memaksa semua untuk bersetuju. Sebaliknya, ia dibina bagi membincang dan menerima perbezaan pandangan.

Ada orang kecewa dengan Parlimen kita kerana mereka melihat ahli-ahli politik sering bergaduh sesama sendiri, dan kadang-kadang berkelakuan seperti kanak-kanak nakal. Apatah lagi, tidak ramai ahli politik Malaysia yang berdebat dengan baik tentang hal-hal dasar.

Kita mahu setiap ahli politik menyedari bahawa peranan mereka adalah lebih jauh dan besar daripada sekadar menyampaikan sumbangan kepada akar umbi.

Ahli politik, khususnya Ahli Parlimen, perlu berfikir, berbincang serta mendalami, dan menentukan dasar-dasar yang baik untuk masyarakat dan negara. Demokrasi perlu memastikan kehidupan rakyat sentiasa bertambah baik.

Politik kadang-kadang merupakan satu kembara di lorong sunyi.

Pakar sosiologi Max Weber (1864-1920) menulis bahawa politik merupakan satu seruan untuk seseorang yang “yakin bahawa ia tidak mematahkan semangatnya apabila, dari sudut pandangnya, dunia ini kelihatan seperti bodoh atau kejam baginya memberi sumbangan – dan walau apa pun halangannya, dia akan tetap mampu berkata ‘tapi memang pun’ – inilah seru untuk melibatkan dirinya dalam politik.”

Saya amat sedar bahawa langit masih kelam di Malaysia pada saat ini. Tetapi saya yakin ada sisinya yang cerah. Dan kita tidak akan mengalah. Kita akan bangkit semula, tidak lama lagi.