Malaysia Dateline

Salji turun di Arab Saudi

Sebuah gunung di Arab Saudi, Jabal al-Lawz, Tabuk diseliputi salji sejak awal pagi Sabtu lalu selepas gunung setinggi lebih 2,500 meter di wilayah barat laut Arab Saudi itu dilanda cuaca sejuk melampau dan hujan berterusan.

Menerusi video yang dikongsikan ANR News di YouTube, dapat dilihat ramai penduduk yang mula tertarik dan datang ke wilayah berkenaan.

Pengguna media sosial turut dilaporkan terkejut dengan kehadiran salji di Arab Saudi walaupun kawasan berkenaan sememangnya bercuaca sejuk.

Menurut saluran stesen televisyen satelit Al-Ekhbariya, salji terus turun sehingga semalam manakala Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi menyatakan bahawa ribut petir akan melanda beberapa wilayah sehingga hari ini, katanya seperti dipetik dari Agensi.

Menurut NCM seperti dilapor Agensi, ribut petir serta hujan dan hujan batu dijangka berlaku di Makkah, Al Bahah, Riyadh, Al Qassim dan beberapa kawasan lain.

Susulan perkembangan itu, NCM mengeluarkan ramalan ribut petir dalam beberapa hari seterusnya disertai angin kencang di Asir, Jazan, Al-Madinah, Hail, sempadan utara dan Al-Jawf serta wilayah Tabuk, di mana lebih banyak salji dijangka turun.

Selain itu, salji juga dijangka memenuhi kawasan di Jabal al-Lawz serta pergunungan Al Dhahr dan Alqan pada awal Ahad, dengan suhu dijangka turun di bawah 0° Celsius.

Dengan perkembangan itu, Pertahanan Awam Arab Saudi menggesa pelawat dan penduduk Tabuk supaya berwaspada dalam keadaan penglihatan yang terhad dan kemungkinan hujan lebat serta guruh dijangka berterusan sehingga Isnin.