Malaysia Dateline

Salleh Said Keruak batal permohonan sertai PKR

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak telah membatalkan permohonannya untuk menyertai PKR berikutan pergolakan dalaman parti itu.

Beliau berkata, keputusan diambil setelah berfikir secara mendalam dan mengambil kira landskap politik hari ini.

Menurutnya, sebulan selepas meminta untuk menangguhkan permohonan menyertai parti itu, beliau telah meminta untuk membatalkan penyertaannya pada April 2020.

“Pada Mac 2020 saya telah meminta agar permohonan saya ditangguhkan dahulu agar saya dapat bertemu dengan rakan-rakan seperjuangan dan membincangkan hala tuju kami di Sabah.

“Kemudian pada April 2020 saya telah meminta agar permohonan saya menyertai PKR dibatalkan.

“Dengan pembatalan permohonan tersebut, saya kekal tidak berparti sejak saya keluar dari Umno pada Disember 2018,” katanya dalam catatan terbaharu di blognya.

Pada Oktober tahun lalu, Salleh memohon menyertai PKR selepas hampir setahun beliau bersama sebilangan besar kepimpinan Umno Sabah keluar meninggalkan parti iaitu pada 12 Disember 2018.

Dalam catatannya itu, Salleh berkata, keputusan beliau untuk menyertai PKR ketika itu kerana PKR adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, dan beliau memilihnya demi kesinambungan kerjasama antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan.

“Hari ini, walau apa pun keputusan yang saya ambil berhubung parti, percayalah bahawa saya telah mempertimbangkannya dengan teliti dan mengambil kira pandangan rakan-rakan seperjuangan serta akar umbi,” ujarnya.