Sallehuddin sudah penuhi 70 peratus kawasan kempen

Sallehuddin sudah penuhi 70 peratus kawasan kempen

Masuk hari ke-11 berkempen, calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Sallehudin Ab Talib, 61, mengakui kempennya telah meliputi 70 peratus kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Jelai dan akan berusaha menghabiskannya sebelum hari pengundian.

Mengakui merasa agak penat sepanjang tempoh berkempen itu, bekas pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Tengku Ampuan Afzan, Lipis itu yang tidak mempunyai jentera kempen, menjelaskan bermula esok, beliau akan ke kawasan peranginan tanah tinggi pula bagi berkempen dan bertemu pengundi di kawasan DUN Tanah Rata.

“Alhamdulillah banyak kawasan sini (Dun Jelai) telah saya masuk dan bertemu pengundi. Ia sememangnya mencabar terutama bila masuk berkempen di perkampungan Orang Asli.

“Jadi bermula esok, saya akan berhempas-pulas berkempen di Cameron Highlands, seharian di sana,” katanya ketika ditemui pemberita pada program tinjauan mesra di perkampungan Orang Asli Pos Lanai, Kuala Medang semalam.

Jelas beliau, selain bertemu pengundi Sungai Koyan, kempen bertemu Orang Asli sangat signifikan kerana masyarakat Orang Asli mewakili 22 peratus daripada seramai 32,048 pengundi keseluruhan di Parlimen Cameron Highlands manakala pengundi Melayu 34 peratus, Cina 30 peratus dan India 14 peratus.

PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Jan ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru membabitkan calon PH, Manogaran, Calon BN diwakili Ramli Mohd Nor manakala dua calon bebas, Sallehudin dan Wong Seng Yee.

PRK itu berlangsung selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh dari BN pada Pilihan Raya Umum ke-14, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.- BERNAMA