Saluran pembentungan pecah punca tanah runtuh di Azalea Apartments, kata Datuk Bandar KL

Saluran pembentungan pecah punca tanah runtuh di Azalea Apartments,  kata Datuk Bandar KL

Kejadian tanah runtuh di tapak Azalea Apartments di Jalan Sri Penchala 1, Kampung Sri Penchala di sini dipercayai berpunca daripada sistem pembentungan air di bawah struktur kediaman berkenaan pecah, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Beliau berkata ekoran insiden itu, pihaknya telah mengarahkan pihak Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) mengenal pasti kebarangkalian terdapat pergerakan tanah yang drastik di kawasan berkenaan.

“Kami telah mengambil tindakan mengarahkan pihak Jabataan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bagi menutup bahagian tanah runtuh yang terkesan sebagai langkah berjaga-jaga jika terdapat pergerakan lain.

“Difahamkan tiada sebarang pergerakan setakat ini namun pihak Ikram akan menjalankan pemantauan berkala sebelum keputusan siasatan awal dapat diperolehi,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini, hari ini.

Sementara itu, Nor Hisham berkata pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan segera mengusahakan urusan penempatan sementara 65 penghuni yang mendiami apartmen empat tingkat itu.

“Mereka akan ditempatkan sementara di Dewan Sungai Penchala berdekatan kawasan ini sebagai tempat mereka berteduh,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan kesemua 65 penghuni yang menghuni 24 unit di apartmen itu akan ditempatkan di Dewan Komuniti Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Sementara itu, Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh Tseow Suan menasihatkan semua penghuni terlibat untuk memindahkan barang-barang daripada unit apartment mereka dengan bantuan pihak berkuasa.

“Penghuni berhak membawa keluar barang mereka tapi perlu ada pemantauan daripada pihak bomba untuk melindungi keselamatan mereka.

“Satu pos kawalan juga perlu diletakkan di bahagian bawah apartmen ini bagi memudahkan sebarang maklumat disalurkan kepada penghuni yang berkemungkinan tidak mengetahui keadaan semasa kejadian ini.

Semalam, seramai 65 penduduk pangsapuri itu dilaporkan terpaksa dipindahkan selepas sebahagian tapak kediaman mereka terjejas akibat tanah runtuh.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur dipetik sebagai berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tanah runtuh berhampiran pangsapuri itu pukul jam 9.08 malam tadi.- BERNAMA