Malaysia Dateline

SAM gesa kerajaan Kelantan tegas bendung kegiatan ceroboh hutan

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Pihak Berkuasa Negeri Kelantan tegas dalam membendung kegiatan pencerobohan dan penerokaan haram untuk tujuan perlombongan di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan Tanah Kerajaan terutama dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, walaupun negara masih dalam tempoh pelaksanaan PKP, Pihak Berkuasa Negeri perlu mengarahkan agensi-agensi yang berkenaan melakukan tindakan proaktif apabila menerima aduan awam atau laporan yang disiarkan oleh pihak media.

“SAM dukacita kerana Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar baru-baru ini menyatakan bahawa tindakan tidak boleh dilakukan oleh agensi-agensi yang berkenaan terhadap kegiatan perlombongan haram di Hutan Simpan Jedok (HS Jedok), Jajahan Tanah Merah.

“…kerana terikat dengan PKP sedangkan di beberapa negeri lain, agensi-agensi yang berkenaan boleh melakukan tindakan proaktif apabila menerima aduan awam.

“SAM amat bimbang tentang kegiatan perlombongan haram di HS Jedok yang dilaporkan dalam Buletin TV3 adalah didalangi sekumpulan warga asing dipercayai bagi menghasilkan torium,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Kata beliau, di samping risiko pendedahan kepada bahan radioaktif, perlombongan ini juga akan mengganggu dan memusnahkan kawasan yang dikelaskan sebagai Hutan Simpanan Dara (VJR) di Kompartmen 7 kerana jarak dari jalan utama ke kawasan VJR tersebut agak dekat.

Oleh itu katanya, SAM berharap supaya Pihak Berkuasa Negeri melalui agensi-agensi yang berkenaan akan mengambil tindakan yang lebih proaktif dan tegas terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Dalam laporan TV3 berkaitan kegiatan perlombongan haram di Hutan Simpan Jedok (HS Jedok), Jajahan Tanah Merah, Kelantan, itu Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dipetik sebagai berkata, tindakan tidak boleh dilakukan oleh agensi-agensi yang berkenaan terhadap kegiatan tersebut berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya menyerahkan perkara tersebut kepada pihak polis untuk memantau dan mengambil tindakan kepada pihak yang terlibat.