Sam gesa syor mansuhkan hutan simpan libatkan orang awam

Sam gesa syor mansuhkan hutan simpan libatkan orang awam

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa sebarang cadangan pemansuhan status hutan simpan kekal (HSK) perlu terlebih dahulu mendapatkan maklum balas orang ramai dan pihak berkepentingan.

Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, keputusan sesebuah negeri dalam meluluskan pembatalan HSK yang tanpa mengambil kira pandang pelbagai pihak dibimbangi akan mengancam keluasan kawasan semula jadi itu.

“Orang ramai dan pihak-pihak berkepentingan boleh mengetahui bahawa ada kawasan HSK hendak dimansuhkan dan boleh mengemukakan ulasan, bantahan dan cadangan dalam tempoh yang ditetapkan,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah baru-baru ini yang membubarkan lapan kawasan hutan simpan dengan keluasan 19,494.92 hektar bagi tujuan pembangunan komuniti dan ekonomi kerajaan.

Menurutnya, alasan pembalakan yang tidak terkawal tidak boleh diterima kerana faktor tersebut jelas disebabkan kelemahan agensi yang menguruskan hutan.

“Sekiranya telah dikenal pasti sesuatu HSK tersebut telah tersorot atau ‘miskin’, apa patut dibuat adalah lakukan program tanaman mengaya atau ‘replanting’ bukannya bagi penyelesaian mudah dengan nyahwartakan begitu saja,” jelasnya.

{loadposition myposition} Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin dilapor berkata, kawasan hutan simpan yang dicadang untuk dibubarkan itu mengambil kira keadaaan kawasan yang tersorot antaranya akibat pembalakan tidak dirancang.

Menurut Ellron ketika membentangkan rang undang-undang untuk meminda Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) 1984 pada persidangan Dun negeri itu, kebakaran yang berulang serta pencerobohan lama juga antara faktor kawasan terbabit dicadangkan untuk dinyahwarta.

Sehubungan itu, Meor Razak berpendapat keputusan Sabah memansuhkan kawasan HSK di Beaufort, Beluran, Kudat, Lahad Datu, Nabawan dan Tenom itu sepatutnya perlu serentak bersama penggantian dengan keluasan yang sewajarnya.

“Bagi peruntukan undang-undang di Semenanjung Malaysia (Akta Perhutanan Negara 1984) ada memperuntukkan perkara berkaitan penggantian sesuatu kawasan HSK yang telah dimansuhkan.

“Ini bermakna apabila sesuatu kawasan HSK dimansuhkan, Pihak Berkuasa Negeri hendaklah menggantinya di kawasan lain dalam keluasan yang sama,” tegasnya lagi.

Hutan 1

CATEGORIES
TAGS