Sam Ke Ting, tanda pagar #BasikalLajak sohor kini di media sosial

Oleh ARIF ATAN

Nama Sam Ke Ting dan tanda pagar #BasikalLajak sedang sohor kini di Facebook dan Twitter ekoran hukuman yang dijatuhkan terhadap kerani itu.

Rata-rata warganet menganggap hukuman penjara enam tahun terhadap Sam Ke Ting mulai semalam dan denda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja basikal lajak pada tahun 2017 lalu sebagai tidak adil.

Ada yang secara sinis menganggap Malaysia memerlukan papan tanda jalan terpampang awas terhadap aksi basikal lajak.

Tidak kurang juga yang mendesak ibu bapa kepada lapan remaja maut berusia antara 13 hingga 16 tahun itu dikenakan tindakan atas mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001.

Mengikut undang-undang itu, mana-mana individu memelihara kanak-kanak termasuk ibu bapa yang menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkannya dengan cara mungkin menyebabkan dia mengalami kecederaan fizikal atau emosi, boleh dikenakan tindakan.

Semalam, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan Sam Ke Ting, 27 dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja basikal lajak terbabit.

Hakim, Datuk Abu Bakar Katar, dalam keputusannya terhadap rayuan kes itu, turut memerintahkan responden, Sam Ke Ting menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Dalam masa sama, ramai turut berkongsikan pengalaman berdepan dengan situasi remaja yang terlibat dalam aksi bahaya basikal lajak.

Antaranya, Norishah yang memberitahu pernah memarahi mereka terbabit di sebuah perhentian bas.

“Saya kata jangan bawa laju, sini jalan utama. Mereka berhenti dan balas sambil jerit, “kami punya sukalah, mak ayah kami pun tak marah. Makcik sibuk apa hal!” ceritanya kembali.

Seorang lagi pengguna Twitter juga menegaskan Sam Ke Ting tidak bersalah dalam tragedi yang berlaku di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada jam 3.20 pagi 18 Februari 2017 itu.

“Basikal lajak harus dilarang, sama berbahayanya dengan perilaku mat rempit. Ibu bapa yang kehilangan anak-anak mereka, itu kesalahan mereka kerana membiarkan mereka bermain di jalan pada jam 3 pagi ketika semua orang harus tidur atau beristirehat di rumah,” katanya.

Pendirian sama dibangkitkan Chan Chun Kuang menerusi hantaran di Facebook beliau yang berpendapat bahawa Ke Ting tidak melanggar undang-undang jalan raya kerana memandu dalam had laju, bertali pinggang dan tidak memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Remaja yang berada di atas jalan raya ketika pukul 3 pagi adalah 20-30 orang. Mereka tidak sepatutnya bermain di atas jalan raya, kecuaian ibu bapa dan tiada tindakan daripada pihak penguatkuasa membanteras aktiviti tersebut walaupun difahamkan penduduk setempat sedar akan aktiviti tersebut,” katanya lagi.