Malaysia Dateline

SAM pula desak pembangunan Taman Sri Muda disiasat

Selepas Datuk Hussamuddin Yaccub, Sahabat Alam Malaysia mendesak siasatan awam dilakukan ke atas dakwaan pembangunan projek perumahan di Taman Sri Muda, Shah Alam, yang dikatakan menjadi kawasan pembendungan banjir.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meena Raman berkata siasatan awam akan mendedahkan jawapan kepada bagaimana projek perumahan diluluskan di Taman Sri Muda walaupun kawasan itu sebelum ini dikhaskan sebagai kawasan pembendungan air, lapor The Malaysian Insight.

Kawasan itu juga bersempadan dengan Sungai Klang dan salah satu kawasan paling teruk terjejas di Selangor akibat banjir pada hujung minggu lalu selepas hujan berterusan dengan lebat luar biasa selama kira-kira 48 jam.

“Kita perlukan siasatan awam kerana ini bencana besar dan turut merekodkan kematian.

“Tujuannya ialah untuk melihat kepada pengajaran kejadian ini dan bagaimana ia berlaku, dan siapa bertanggungjawab, serta langkah pembaikan yang boleh diambil.

“Keadilan perlu diberikan kepada penduduk Sri Muda,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sebelum ini, Malaysia Dateline telah melaporkan desakan Hussamuddin agar projek perumahan Taman Sri Muda ini perlu disiasat.

Sejarah pembangunan Taman Sri Muda menjadi topik perbualan di media sosial selepas satu tweet mendakwa kawasan itu adalah kawasan pembendungan air untuk banjir, tetapi ia tetap dijual kepada pemaju untuk membina perumahan.

Dakwaan itu dimuat naik bersama keratan akhbar New Straits Times pada 1995 menunjukkan gambar banjir di Taman Sri Muda pada Disember tahun berkenaan.

Satu artikel gambaran keseluruhan hartanah disiarkan The Edge Properties turut menyatakan kawasan itu masih terus dilanda banjir selepas 1995.