Sam Rainsy akan pulang ke Kemboja pada bila-bila masa

Sam Rainsy akan pulang ke Kemboja pada bila-bila masa

Pemimpin parti pembangkang Kemboja, Sam Rainsy hari ini memaklumkan bahawa pihaknya akan kembali ke tanah air pada bila-bila masa untuk memperjuangkan demokrasi di negaranya.

Walaupun semua akses untuk pulang ke tanah airnya telah disekat, namun Rainsy bersama rakan-rakannya akan berusaha untuk menjejakkan kaki di bumi Kemboja.

“Kami bercadang untuk pulang ke Kemboja pada 9 November lalu, tetapi dihalang daripada berbuat demikian oleh pihak berkuasa Thailand.

“Jadi, saya perlu mencari cara lain untuk pulang ke tanah air saya (Kemboja) secepat yang mungkin. Apabila ada peluang, saya dan rakan-rakan akan kembali ke Kemboja nanti.

“Mereka (rakyat Kemboja) mahukan kebebasan dan juga perubahan demokratik. Mereka mahu demokrasi diatasi. Ini adalah permintaan mereka.

“Ada banyak juga laporan yang mengatakan bahawa rakyat Kemboja bersemangat untuk perubahan demokrasi di bawah kepimpinan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar bangunan Parlimen, hari ini yang turut dihadiri Naib Presiden CNRP, Mu Sochua.

Terdahulu, Rainsy dan pemimpin pembangkangnya bertemu dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan juga barisan ahli parlimen yang lain di dalam bangunan Parlimen.

Memetik laporan Bernama, tahun ini pihak berkuasa Kemboja menahan sekurang-kurangnya 48 aktivis pembangkang berikutan dakwaan mengenai cubaan menggulingkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Hun Sen.

Puluhan aktivis pembangkang yang meninggalkan Kemboja kerana bimbang ditahan menyatakan kesediaan untuk pulang sebagai tanda sokongan terhadap pengasas CNRP, Sam Rainsy yang kini hidup dalam buangan.

Menurut laporan BH Online pada Sabtu lalu, Rainsy yang selama ini melarikan diri dari negara asalnya, tiba di ibu negara Malaysia selepas berjanji untuk pulang bagi mengetuai bantahan ke atas Perdana Menteri, Hun Sen.

Khamis lalu, Rainsy dihalang dari menaiki penerbangan Thai Airways dari Paris ke Thailand.

Beliau dan beberapa pemimpin dari parti pembangkang yang sudah diharamkan kerajaan berkata, mereka mahu pulang ke Kemboja dengan menyeberangi sempadan negara itu bersama Thailand.