Saman 10 pengundi Gombak diketepi, tuntutan tidak boleh dipertahan

Oleh FAZLI RADZI

Saman yang dikemukakan 10 pengundi berdaftar kawasan Parlimen Gombak terhadap wakil rakyat mereka, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari sebagai Ahli Parlimen kawasan itu berjaya diketepikan.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya yang diketuai Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Hashim Hamzah sebulat suara membenarkan rayuan bekas Timbalan Presiden PKR itu.

Hakim Yaacob ketika membacakan penghakiman ringkasnya berkata, tuntutan 10 pengundi terbabit tidak boleh dipertahankan dan pasti akan gagal.

“Kami mendapati terdapat kekhilafan yang boleh dirayu apabila Hakim Mahkamah Tinggi terdahulu tidak membenarkan permohonan untuk membatalkan saman itu sebelum ini.

“Kami juga dapati tuntutan responden (pengundi-pengundi Gombak) tidak boleh dipertahankan. Tuntutan responden bakal gagal dan tiada keperluan untuk perbicaraan penuh diadakan,” dipetik Utusan Online.

Tiada sebarang perintah dibuat berhubung kos memandangkan kes tersebut merupakan kes membabitkan kepentingan awam.

Pada 10 Jun 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Mohamed Azmin untuk membatalkan saman yang difailkan 10 pengundi itu terhadapnya atas alasan terdapat isu yang perlu dibicarakan.

Pada hari yang sama, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir juga menolak menolak permohonan pengundi berusia antara 37 hingga 65 tahun itu untuk memadamkan sebahagian pernyataan pembelaan Mohamed Azmin.

Pada 27 November 2020, 10 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Gombak memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajiban fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari tahun lalu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan kesemua pengundi terbabit, Azmin selaku defendan telah membuat pelbagai janji termasuk menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 di bawah tiket parti PKR untuk menyingkirkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pegawai-pegawai awam yang korup.

Defendan pada pilihan raya itu memenangi Parlimen Gombak serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa dan kemudiannya dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh kerajaan PH.

Bagaimanapun pada 23 Februari 2020, defendan didakwa menyebabkan berlakunya Langkah Sheraton sekaligus kerajaan PH berpecah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Langkah itu juga turut menyebabkan gabungan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi Perdana Menteri.

Baca Azmin ucap tahniah tapi netizen pakat sindir Hadi

Baca Puasa penat-penat tapi tak solat, apa hukumnya?