Malaysia Dateline

Saman difailkan kerajaan Malaysia terhadap NFC didengar 13 Jan

– Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan lima hari mulai 13 Jan tahun depan untuk mendengar saman difailkan kerajaan Malaysia menuntut RM253.6 juta dipinjamkan kepada National Feedlot Corporation (NFC) yang diuruskan oleh suami dan tiga anak bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Pesuruhjaya Kehakiman Anand Ponnudurai menetapkan tarikh itu di dalam kamar hari ini, dengan kehadiran Peguam Kanan Persekutuan Mohd Radhi Abas dan Peguam Persekutuan Mohd Ashraf Abd Hamid yang mewakili kerajaan dan peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang hadir bagi pihak NFC.

Rajan memberitahu pemberita mahkamah menetapkan 13, 14, 15, 17 dan 20 Jan tahun depan untuk mendengar saman itu manakala 8 Jan ditetapkan untuk pengurusan kes.

“Setakat ini, kedua-dua plaintif dan defendan menyediakan tujuh saksi untuk memberi keterangan. Hari ini, mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan dokumen, kenyataan saksi dan kronologi perkara itu menjelang 8 Jan,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan bagi saman itu diselesaikan di luar mahkamah, Rajan berkata buat masa ini masih tiada penyelesaian, tetapi defendan akan menimbangkan kemungkinan untuk berbuat demikian.

Dalam tuntutannya, kerajaan sebagai plaintif tunggal, menamakan NFC sebagai defendan pertama manakala suami Shahrizat, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail, dan tiga anak mereka, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing merupakan defendan kedua hingga kelima.

Defendan lain adalah enam syarikat yang dikawal oleh keluarga Mohamad Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd; Real Food Corporation Sdn Bhd; Meatworks Corporation Sdn Bhd; Agroscience Industries Sdn Bhd; Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd; dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd.

Antara lain, kerajaan memohon diisytiharkan bahawa keluarga Mohamad Salleh bertanggungjawab untuk membayar balik pinjaman itu. Putrajaya juga menuntut keuntungan yang tidak diisytiharkan yang diperoleh daripada perbuatan menyalahgunakan dana yang dipinjamkan serta hartanah yang dibeli menggunakan dana itu.

Kerajaan menandatangani perjanjian dengan NFC pada 6 Dis, 2007, bagi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan, selaras dengan dasar kerajaan untuk membangunkan dan meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.

Pinjaman disalurkan oleh kerajaan kepada NFC dalam tiga peringkat.

Keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Jan, 2008 hingga 3 Jan, 2011.

Daripada sebanyak RM180.51 juta yang dikeluarkan, hanya RM8.32 juta dibayar secara terus kepada pihak ketiga untuk menjalankan projek Pusat Fidlot Nasional. Baki daripada dana yang dikeluarkan telah dipindahkan ke akuan NFC yang lain dan sejumlah RM118.04 juta daripada baki itu didakwa telah disalahgunakan.

Termasuk dalam dana yang didakwa disalahgunakan itu adalah RM9.76 juta yang didakwa digunakan untuk membeli dua unit kediaman di One Menerung Residence. Ia didakwa dilakukan oleh defendan keenam, National Meat & Livestock Corp.

Pada masa yang sama, didakwa sebanyak RM300,000 digunakan untuk membuat bayaran kepada seorang individu bernama Shamsubarin Ismail bagi tujuan yang tidak didedahkan dan sebanyak RM1.8 juta lagi dibayar kepada individu sama.

Keluarga Mohamad Salleh juga didakwa menggunakan dana yang dipinjam daripada kerajaan itu untuk membayar sewa bulanan RM28,000 bagi satu lot pejabat di Solaris Mont Kiara.

Wang pinjaman itu turut didakwa digunakan untuk membeli dua bidang tanah di Putrajaya, bayaran kepada dua firma guaman dan membeli sebuah rumah kedai empat tingkat di Solaris Mont Kiara.– BERNAMA