Malaysia Dateline

Saman fitnah Khalid-FMT: Mahkamah cadang diselesai cara baik

Mahkamah Tinggi menasihatkan supaya kes saman fitnah yang dikemukakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, terhadap syarikat portal berita, Free Malaysia Today (FMT), diselesaikan secara baik.

Memetik Bernama, peguam Mohamed Ashmeer Mohamed Ashrof yang mewakili Khalid memberitahu pemberita, mahkamah meminta supaya pihak-pihak terlibat berbincang untuk mencari penyelesaian berhubung kes tersebut.

Saman tersebut berhubung penerbitan artikel fitnah oleh FMT yang mendakwa Ahli Parlimen Shah Alam itu menuntut Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya.

“Sekiranya tiada penyelesaian dicapai, mahkamah menetapkan dua hari bermula 1 Julai tahun depan untuk perbicaraan kes,” katanya selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Datin Rohani Ismail, yang turut menetapkan 10 Disember untuk pengurusan kes selanjutnya.

Pada 23 Jun lalu, Khalid, yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional selaku plaintif memfailkan saman, dengan menamakan Abdar Rahman Koya dan FMT Media Sdn Bhd sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam penyataan tuntutan, Khalid mendakwa kedua-dua defendan telah mengarang dan menerbitkan artikel bertajuk ‘Khalid presses on, tell Dr M to make way for Anwar’ di portal berita itu, yang memetik hantaran Twitter milik plaintif.

Dakwa Khalid, defendan telah menterjemahkan hantaran Twitternya dengan menggunakan perkataan defendan sendiri dalam bahasa Inggeris, tanpa mendapatkan sebarang pengesahan daripada plaintif dan penerbitan memfitnah itu boleh dilihat dan diakses, di portal berita berkenaan.

Khalid mendakwa penerbitan memfitnah itu antara lainnya membawa maksud bahawa plaintif, telah menuntut agar Dr Mahathir melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri atau Perdana Menteri Interim, selain mendakwa plaintif bersikap biadap dan tidak menghormati seorang tokoh yang berpengalaman serta berpangkat tinggi.

Dakwanya walaupun defendan menerbitkan satu pernyataan memohon maaf terhadap plaintif, namun ia tidak disiarkan kepada umum sebaliknya defendan pertama (Abdar), telah mengejek plaintif seterusnya menegaskan bahawa terjemahan terhadap hantaran Twitter adalah tepat.

Oleh itu, plaintif memohon ganti rugi am, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan, selain memohon kedua-dua defendan menerbitkan pernyataan permohonan maaf dalam terma-terma yang dipersetujui oleh plaintif, kos, dan injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula artikel berkenaan.

Sementara itu, kedua-dua defendan menerusi penyataan pembelaan difailkan pada 7 Ogos lepas mendakwa terjemahan yang dilakukan adalah benar dan tidak mengelirukan, serta tidak memfitnah plaintif.