Malaysia Dateline

Saman Kamarul Yusoff: Fatihah tidak tarik semula kes

Pengarah Komunikasi Wanita Muda AMANAH (WARDA), Fatihah Salahuddin memaklumkan sudah menerima writ saman dan pernyataan tuntutan berhubung dakwaan fitnah terhadap seorang pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.

Fatihah bagaimanapun memberi amaran, beliau sama sekali tidak akan menarik semula kes yang difailkan Dr Kamarul Yusoff, sekiranya ianya berlaku dengan permintaan penganalisis politik pro Pas itu sendiri.

“Saya telah menerima serahan sesalinan writ saman dan pernyataan tuntutan bertarikh 27 Julai 2020 melalui peguam saya, Mohd Khainis daripada Tetuan Nazri Yahya & Co.

“Saya telah pun mengarahkan peguam saya untuk membuat pernyataan pembelaan dan tuntutan balas.

“Saya akan menolak sebarang usaha KAYU (Kamarul Yusoff) untuk menarik balik kes (sekiranya ianya berlaku), atau percubaan untuk berdamai setelah kes difailkan di Mahkamah,” katanya dalam satu hantaran Facebook beliau semalam.

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa nilai tuntutan yang dahulunya melalui Letter Of Demand (LOD) menuntut sebanyak RM1 juta, kini menjadi RM2 juta.

Pegawai kepada bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu juga berkata, hasil penelitiannya, beliau gagal mencari unsur fitnah dalam kenyataannya yang bertarikh 9 Mei 2020

“Setidaknya, saya tidaklah cuba untuk memadam kenyataan saya sebagaimana pihak sana lakukan.

“Kepada pihak lawan saya, semoga berjaya,” sindirnya.

Terdahulu, Kamarul dilaporkan sudah memulakan prosiding fitnah terhadap 21 individu antaranya membabitkan 10 pemimpin DAP, 10 pemimpin AMANAH dan wartawan Malaysia Dateline.

Mereka adalah ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang; ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen; Senator DAP Pulau Pinang, Ariffin Omar.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh; Adun Perai, Dr P Ramasamy a/l Palanisamy; Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid; Pengerusi DAP Kitang Abdul Aziz Isa; dan penggerak mahasiswa DAP UUM, Mohd Farid Mohd Azmi.

Manakala sepuluh pemimpin AMANAH termasuklah ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa; ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin; Zolkarnain Abidin dan Jamzuri Ardani.

Turut tersenarai lima lagi adalah Mohd Fitri Asmuni, Wan Anwar Wan Ibrahim, Fatihah Salahuddin, Abdul Rahman Abdul Talib, Husin Jan dan portal Malaysia Dateline.