Saman Najib, mahkamah tolak rayuan Mahathir

Saman Najib, mahkamah tolak rayuan Mahathir

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta dua yang lain gagal dalam rayuan mereka berkaitan saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai ‘tort misfeasan’ dalam jawatan awam berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Idrus Harun, yang mempengerusikan panel tiga hakim, menolak rayuan Dr Mahathir, 90, bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, 54, dan bekas anggota Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin, 41, mengenai keputusan Mahkamah Tinggi yang mengetepikan saman mereka terhadap Najib, tanpa mendengar merit tentang saman itu.

Dalam keputusan sebulat suara, Idrus berkata rayuan itu tidak mempunyai merit dan oleh demikian mahkamah itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Najib untuk mengetepikan saman berkenaan. Panel itu juga memerintahkan Najib dibayar kos RM30,000.

“Kami bersetuju dengan hujah peguam yang mewakili responden (Najib) dan kami berpuas hati bahawa rayuan ini tidak mempunyai merit dan oleh itu kami menolak rayuan ini,” kata Idrus yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli.

Pada 28 April 2017, ketika membenarkan permohonan Najib untuk menolak saman itu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Perdana Menteri bukan seorang penjawat awam, tetapi seorang anggota pentadbiran.

Pada 23 Mac 2016, Dr Mahathir, Khairuddin dan Anina memfailkan saman terhadap Najib dengan mendakwa sebagai perdana menteri, beliau terlibat dengan perbuatan salah laku membabitkan dana pembangunan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 19 April tahun lepas, Najib memfailkan permohonan untuk mengetepikan saman itu.

Terdahulu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili tiga pemohon itu berhujah bahawa terdapat isu serius yang perlu dibicarakan mengenai perbuatan melanggar fidusiari dalam jawatan awam oleh responden dan perkara berkaitan tort misfeasan telah dipenuhi.

“Perayu adalah pihak yang wajar dan menepati syarat untuk mengemukakan dan mengekalkan tindakan ini terhadap responden dan kes yang wajar dan menepati syarat ini tidak boleh diketepikan dengan begitu sahaja,” katanya.

{loadposition myposition}  Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi melakukan kekhilafan kerana mengguna pakai prinsip undang-undang yang silap dalam membuat takrifan tentang istilah “jawatan awam” dan “pegawai awam” serta gagal menimbangkan dakwaan perayu.

Peguam Tan Sri Cecil Abraham, yang mewakili Najib pula dalam hujahnya berkata oleh kerana perayu membuat dakwaan berkaitan tort misfeasan dalam jawatan awam, maka mereka sepatutnya membuktikan bahawa responden (Najib) adalah penjawat awam.

Katanya, Perdana Menteri bukan pegawai awam, tetapi anggota pentadbiran seperti yang ditakrifkan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Jelas sekali bahawa responden (Perdana Menteri atau Menteri Kewangan) tidak termasuk dalam definisi mengenai “pegawai awam” untuk memenuhi syarat tort misfeasan dalam jawatan awam,” katanya.

CATEGORIES
TAGS