Saman Nik Nazmi terhadap bekas AG, kerajaan akan dibicara pada Oktober

Saman Nik Nazmi terhadap bekas AG, kerajaan akan dibicara pada Oktober

Saman dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan kerajaan Malaysia berhubung pendakwaan berniat jahat susulan penahanannya sebanyak dua kali bagi kesalahan sama, akan dibicarakan pada 16 dan 17 Oktober.

Ini berikutan Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Abdul Gani dan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Mei tahun ini yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman Nik Nazmi.

Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Hakim Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan Peguam Kanan Persekutuan Kamal Azira Hassan mewakili Abdul Gani dan kerajaan dan peguam Syahredzan Johar bagi pihak Nik Nazmi.

“Kami sebulat suara. Kami menolak rayuan tanpa mengeluarkan perintah berkaitan kos,” kata Hakim Umi Kalthum.

Di luar mahkamah, Syahredzan memberitahu pemberita dengan keputusan itu, perbicaraan akan berlangsung pada 16 dan 17 Oktober di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 31 Mac, 2015 Nik Nazmi memfailkan saman terhadap Abdul Gani, yang ketika itu peguam negara, atas dakwaan telah melakukan pendakwaan yang berniat jahat kerana bertindak mendakwanya di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya buat kali kedua pada 6 Mei, 2014 mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ini walaupun Mahkamah Rayuan pada 25 April 2014 telah membenarkan permohonannya untuk menggugurkan pertuduhan yang dihadapinya mengikut akta sama.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nik Nazmi menegaskan beliau sebelum itu didakwa di Mahkamah Sesyen yang sama pada 17 Mei, 2013 atas dakwaan menganjurkan perhimpunan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 8 Mei, 2013.

Beliau mendakwa pada 6 Mei, 2014, Mahkamah Sesyen telah memembebaskan dan melepaskannya selepas memutuskan ia terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan pendakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman adalah tidak berperlembagaan.

Nik Nazmi mendakwa tindakan Abdul Gani untuk mendakwanya sebanyak dua kali atas pertuduhan sama telah mencemarkan maruahnya dan menggambarkannya sebagai seorang penjenayah.

Beliau menuntut ganti rugi khas sebanyak RM80,000, ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

CATEGORIES