Malaysia Dateline

Saman pusat tahfiz tidak semestinya anti al-Quran, anti Islam

Tindakan keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mahu menyaman pemilik pusat tahfiz tersebut dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tidak wajar dituduh cuba menjatuhkan maruah dan integriti pusat tahfiz.

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin berkata, selalunya apabila melibatkan isu agama ini, relatifnya amat mudah sangat kadangkala setengah pihak berlepas tanggungjawab dengan “wirid” agama.

“Misalnya perkataan seperti “mati syahid” dan lain-lain. Saya sendiri pernah membangkitkan masalah ini di dalam perbahasan saya di Parlimen,”katanya dalam satu kenyataan,

Bahkan katanya, mereka yang bertindak menyaman turut dilabelkan seperti tidak redha dengan takdir dan dilabel sebagai anti al quran atau anti Islam.

“Saya masih ingat semasa kebakaran berlaku, media lapor hanya ada satu sahaja pintu kecemasan. Jika betul laporan itu , amat malanglah. Adakah itu menjadi kecuaian, saya tidak mahu membuat spekulasi,”katanya.

Berdasarkan laporan media , saman itu berasaskan antara lain isu kecuaian ( negligence ) dan juga isu derma orang ramai .

Dalam saman itu , antaranya, keluarga mangsa memohon perintah deklarasi bahawa semua mangsa yang meninggal dunia dan cedera serta plaintif-plaintif berhak menerima 100% derma yang didermakan khususnya ke atas mangsa kebakaran.

“Isu sama ada dakwaan saman itu berjaya atau tidak berjaya dibuktikan mungkin pra matang untuk dibincangkan. Di peringkat ini , saya setuju ia remain as mere allegations,”katanya.

Saman sivil terhadap tiga pihak iaitu pemilik pusat tahfiz, MAIWP dan dua remaja yang merupakan tertuduh dalam kes itu, difailkan oleh firma guaman Tetuan Mohaji, Hazury dan Ismail di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Jun lalu.

Tragedi kebakaran pusat tahfiz yang terletak di Kampung Datuk Keramat yang berlaku pada kira-kira 5.15 pagi 14 September tahun lalu itu menyebabkan 21 pelajar dan dua tenaga pengajar maut selepas terperangkap dalam kebakaran bangunan sementara pusat tahfiz berkenaan.

Peguam Faiz Fahmi Md Fodzi mewakili Persatuan Kebajikan Tahfiz Malaysia (Pertama) yang ditubuhkan 11 waris mangsa yang meninggal dan yang cedera dalam insiden itu, bertujuan untuk membela kebajikan mangsa dan waris yang terkesan dengan tragedi itu.

“Saya mewakili anak guam memfailkan saman bagi menuntut keadilan melibatkan isu keselamatan dan sumbangan derma yang sehingga kini masih belum diterima oleh waris,” katanya.