Malaysia Dateline

Saman RM5 juta Kamarul Zaman ke atas Hanipa ditolak dengan kos

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menolak tuntutan saman bernilai RM5 juta yang difailkan bekas Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff, terhadap bekas Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin.

Dalam tuntutan saman itu, Kamarul turut menuntut bayaran ganti rugi keterlaluan atau ganti rugi teladan untuk libel.

Saman tersebut difailkan pada 28 Julai 2020 berkaitan satu artikel yang dikatakan diterbitkan di Facebook Hanipa selaku defendan tiga tahun sebelum itu iaitu pada 22 Mei 2017.

Plaintif mendakwa artikel yang diterbitkan defendan dengan tajuk “Mula-mula bantah Yb Hannah, lepas itu nak minta pula pendaftar pertubuhan batalkan DAP”, sebagai cubaan memfitnah.

Kes ini mempunyai kaitan dengan buku yang ditulis oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bertajuk “Becoming Hannah”.

Semasa perbicaraan kes itu tahun ini, plaintif memanggil beberapa orang saksi antaranya isteri beliau sendiri dan pendakwah, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Defendan pula tidak memanggil sebarang saksi kecuali Defendan sendiri.

Antara pembelaan yang dibangkitkan pihak defendan adalah pembelaaan komen yang adil dan pembelaan perlindungan bersyarat (qualified privilege).

Defendan diwakili oleh peguam Aminuddin Dzulkifli dan Noor Atiqah Abdul Rahman dari Tetuan Amin, Amirul & Partners manakala plaintif pula diwakili oleh Mohd Haris Mohan.

Sebelum ini pada 28 Julai 2020, Kamarul memfailkan saman fitnah terhadap bekas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung penulisan Khalid yang disiarkan sebuah portal dalam talian bertajuk “Pensyarah Melayu Bodohkan Melayu Ibarat Pegar Makan Padi”.

Penulisan itu dibuat oleh Khalid pada 26 Mei 2017 ketika memberikan pandangan berhubung kritikan Kamarul terhadap buku Hannah Yeoh, “Becoming Hannah” melalui rencana bertajuk “Hannah Yeoh Contoh Hipokrasi Terbesar DAP”.

Tuntutan oleh Kamarul bagaimanapun ditolak oleh mahkamah dan diarah membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Khalid.

Dalam keterangannya di mahkamah, plaintif antara lain berkata beliau juga telah memfaillkan saman ke atas 25 orang yang lain dalam isu yang hampir sama.