Saman sivil DOJ Amerika berasaskan kesalahan jenayah 1MDB

Saman sivil DOJ Amerika berasaskan kesalahan jenayah 1MDB

Biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba berdolak-dalih dengan mengatakan laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mengenai 1MDB adalah tindakan sivil semata-mata, ia tetap berkait dengan perbuatan jenayah.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata walaupun istilah ‘sivil’ digunakan, sejumlah 17 aset yang disebut di dalam dokumen itu disita kerana melibatkan penyelewengan dan salah laku melibatkan 1MDB dan wang rakyat Malaysia.

Secara lebih jelas, katanya, ia bermaksud jenayah telah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu sehingga DOJ bertindak demikian.

Dokumen saman sivil DOJ yang difaikan minggu lalu itu menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz, ahli perniagaan Low Taek Jho dan dua bekas pegawai Abu Dhabi sebagai antara pemain utama dalam dakwaan penyelewengan dana yang merupakan satu jenayah di Amerika Syarikat.

“DOJ akan mengambil tindakan sivil apabila melibatkan kes-kes di mana sabitan jenayah tidak boleh dilakukan, seperti apabila harta itu dipegang oleh pelarian, individu yang sudah mati atau individu yang tidak dapat didakwa di Amerika Syarikat.

“Satu lagi sebab yang mungkin lebih relevan dengan kes 1MDB ialah tindakan sivil diambil terhadap pesalah yang kebal terhadap pendakwaan jenayah, atau pesalah yang terlalu berkuasa sehingga pendakwaan jenayah seolah-olah mustahil,” ujar beliau kepada Roketkini.

Menurut Steven, ia disebutkan secara jelas di dalam buku panduan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat bertajuk ‘Recovery Asset US Tools & Procedures : A Practical Guide for International Cooperation’ yang diterbitkan pada tahun 2012.

Beliau menambah, kes mahkamah yang difailkan oleh DOJ itu dengan jelas menyatakan bahawa jenayah telah dilakukan berhubung syarikat milik Kementerian Kewangan, 1MDB.

Katanya, perenggan lima di dalam dokumen DOJ itu menyebut, “ini merupakan satu tindakan sivil in rem untuk menyita aset yang terlibat dengan konspirasi antarabangsa mengenai penyelewengan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).”

Steven menjelaskan, perenggan itu juga menyatakan bahawa “ia adalah harta yang terlibat dalam satu atau lebih kesalahan pengubahan wang haram”, yang merupakan kesalahan jenayah dalam undang-undang Amerika Syarikat.

Oleh itu, beliau berkata, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali perlu melihat perkara ini dengan serius dan tidak lagi terus memberi alasan lemah bagi mempertahankan individu yang tidak lagi boleh dipertahankan.

“Kesan tuntutan mahkamah oleh DOJ ini besar, malah menunjukkan bahawa pegawai-pegawai negara termasuk Malaysian Official 1 telah sesuka hati melakukan jenayah penyelewengan.

“Jika Peguam Negara tidak berbuat apa-apa, ia menunjukkan beliau bukan sahaja lemah tetapi turut bersubahat dengan penjenayah,” tegasnya.

TAGS