“Saman WSJ demi nama baik negara,” saran Ketua Pembangkang

“Saman WSJ demi nama baik negara,” saran Ketua Pembangkang

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyarankan kerajaan khususnya perdana menteri menyaman media antarabangsa terutamanya Wall Street Journal (WSJ) yang secara berterusan menyiarkan berita-berita negatif tentang syarikat pelaburan negara, 1MDB bagi menjaga imej negara di mata dunia.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyarankan kerajaan khususnya perdana menteri menyaman media antarabangsa terutamanya Wall Street Journal (WSJ) yang secara berterusan menyiarkan berita-berita negatif tentang syarikat pelaburan negara, 1MDB bagi menjaga imej negara di mata dunia.

Berucap membahaskan Usul Menjunjung Kasih di atas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam, Dr Wan Azizah berkata dengan menyaman WSJ di mahkamah sama ada di dalam atau di luar negara, maruah negara di mata rakyat dan mata dunia antarabangsa dapat dipertahankan.

Pihaknya juga menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak mengelak ‘daripada memburukkan negara di mata masyarakat antarabangsa’.

“Justeru itu adalah amat membantu jika Perdana Menteri menyaman pihak media antarabangsa yang dikatakan terus memburukkan nama Perdana Menteri dan sekaligus kerajaan dan negara sehingga wujud siasatan di enam buah negara asing mengenai 1MDB,” katanya.

Menurut Dr Wan Azizah, bagi ‘meredakan badai syak wasangka dan fitnah’ mengenai 1MDB, pihaknya menjunjung kasih agar Yang di-Pertuan Agong segera memperkenankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu 1MDB termasuk anak syarikatnya SRC International yang dikatakan terlibat dalam pemberian sumbangan bersama derma kerajaan asing ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri untuk kempen pilihan raya umum ke-13.

“Kami yakin pihak kerajaan juga sedia menyambut titah tuanku agar fitnah-memfitnah dapat dihentikan dengan penubuhan suruhanjaya tersebut,” tegas beliau.

Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja dan saman ke atas WSJ akan memenuhi maksud tersurat lagi tersirat Yang di-Pertuan Agong agar kerajaan berusaha ‘menangani persepsi negatif rakyat berkaitan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Dr Wan Azizah juga mengingatkan Dewan Rakyat tentang kenyataan Majlis Raja-raja melalui Pejabat Penyimpan Mohor Raja-Raja Malaysia mengenai isu 1MDB pada 7 Oktober 2015.

Menurutnya, Majlis Raja-raja dalam kenyataan tersebut meminta tindakan tegas yang sewajarnya diambil kerajaan terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam skandal 1MDB jika terbukti terdapat sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang.

“Semua pihak adalah bertanggungjawab untuk memberikan kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha dan maksud siasatan tersebut mencapai kejayaan,” ujar Dr Wan Azizah memetik kenyataan Majlis Raja-raja.

TAGS