SAMB tempatkan 242 tangki statik di kawasan terjejas bekalan air di Melaka

SAMB tempatkan 242 tangki statik di kawasan terjejas bekalan air di Melaka

Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menempatkan sebanyak 242 tangki statik di kawasan sekitar negeri itu yang mengalami masalah gangguan bekalan air sejak dua minggu lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Datuk Mohd Khalid Nasir berkata daripada jumlah itu sebanyak 200 tangki statik ditempatkan di daerah Melaka Tengah dan 42 tangki statik di daerah Jasin.

Beliau berkata selain itu, lima tangki statik akan ditempatkan di stor SAMB di daerah Alor Gajah sebagai langkah persediaan sekiranya ia diperlukan.

“Tangki statik tersebut bertujuan menyalurkan bekalan air kepada kawasan terjejas terutama penduduk di kawasan rumah flat yang mana gangguan bekalan air disebabkan tekanan rendah.

“Ia akan dipenuhkan oleh lori tangki yang ditugaskan mengikut kawasan dan penambahan tangki statik itu akan ditambah sekiranya perlu atau ada kawasan baharu yang terjejas,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Facebook rasmi SAMB hari ini turut memuat naik makluman berkaitan penempatan tangki statik tersebut dan berharap bekalan air yang diisi di dalam tangki berkenaan digunakan pengguna yang terjejas secara berhemah.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata setakat ini sebanyak 26 lori tangki air ditempatkan di kawasan terjejas di sekitar negeri itu iaitu Melaka Tengah (18 lori), Jasin (enam lori) dan Alor Gajah (dua lori).

Beliau berkata selain inisiatif tersebut, SAMB juga sentiasa bersiap-siaga termasuk menyediakan pelan tindakan bagi memastikan kelangsungan bekalan air dapat disalurkan dalam usaha meringankan kesulitan pengguna sekiranya masalah tersebut berlarutan.

— BERNAMA