Malaysia Dateline

Sambut baik cadangan penubuhan jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita

Pengarah Komunikasi Wanita PKR, Loh Ker Chean menyambut baik cadangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang mencadangkan untuk menubuhkan jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita, seperti gesaan parti itu pada September lalu.

“Wanita PKR menyambut baik dan mengucapkan tahniah atas keputusan Tuan Speaker yang selari dengan gesaan Wanita Keadilan supaya menubuhkan JPK Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial dengan serta-merta.

“Wanita Keadilan berharap agar ahli Parlimen boleh berganding bahu mengembleng usaha mengutamakan mencari penyelesaian kepada penderitaan rakyat akibat pandemik Covid-19 tanpa mengira perbezaan gender dan pendapat politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Azhar mencadangkan mewujudkan sembilan jawatankuasa pilihan khas yang baharu dalam usaha memperkasakan Parlimen Malaysia.

Mengemukakan Penyata Jawatankuasa Dewan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menurut Peraturan Mesyuarat 79(2), Azhar berkata jawatankuasa berkenaan ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi dan Hak-Hak di bawah Perlembagaan; Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi; Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan; Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri; Jawatankuasa Pilihan Khas Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri.

Empat lagi ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur; Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan; Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita & Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial; dan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi.