Sambut genap setahun PH menang di Wad 5D dengan tangan berdarah

Sambut genap setahun PH menang di Wad 5D dengan tangan berdarah

Sempena genap setahun regim Umno-BN dikalahkan, saya sudah merangka untuk menyusun tulisan khas meraikan kejayaan gilang-gemilang itu. Malangnya pada malam Jumaat, 10 Mei itu, saya dikejarkan ke Hospital Ampang, tidak jauh dari kediaman saya, ekoran pendarahan fistula di lengan kiri kira-kira satu jam selepas selesai rutin dialisis.

Sebagai penulis kerdil yang menghabiskan banyak masa di pembaringan dan kerusi rawatan, tiada yang mampu saya usahakan selain cuba mencatat dan merakamkan kemenangan manis PRU14, satu peristiwa besar dalam sejarah negara kita. Selepas 61 tahun merdeka inilah kali pertama kerajaan bertukar, dan proses peralihan itu berlaku secara licin dan aman. Tiada setitik pun darah yang tumpah atas revolusi elektoral ini. Alhamdulillah.

Di waktu ramai rakan-rakan saya yang aktif dalam pembangkang dahulu, kini berkhidmat bersama kerajaan Pakatan Harapan, bagi memulihkan negara, saya sekadar terlantar memintal-mintal kenangan lampau. Perit melaluinya dahulu tetapi manis-indah bila mengingatinya semula.

Tiada kejayaan lebih besar daripada menggulingkan pemerintah zalim, korup dan membazir ini. Tiada secuit pun rasa kecewa atau terkilan apabila terpaksa terbaring lesu, apatah lagi tanpa upaya walaupun sekadar untuk membaca. Sekurang-kurangnya jari telunjuk saya masih mampu menekan abjad pada gajet bagi menghasilkan tulisan santai.

Saya bercadang untuk menulis sejurus solat tarawih malam 10 Mei, namun terbantut apabila darah melilih keluar apabila balutan lengan dilonggarkan. Semakin ditekan untuk memberhentikannya, darah semakin memancut deras. Merah darah menyuntik sedikit panik. Klinik berdekatan juga tidak dapat membantu. Jururawat dan doktor yang tidak biasa dengan rawatan dialisis sekadar cuba menahan pancutan darah sebelum memaksa kami cepat ke hospital. Rupanya hanya prosedur mudah sahaja untuk memberhentikan alirah darah itu. Tetapi ia perlukan sedikit kemahiran selain bertenang dan tidak panik!

Awal pagi Sabtu, beberapa minit selepas kedua-dua jarum jam, pendek dan panjang, berkumpul pada angka 12, saya yang letih-lesu dan hampir pitam ditolak ke tingkat lima hospital. Hampir semua penghuni wad 5D itu sudah tidur, kebanyakan lampu dipadamkan. Di atas katil, bersebelahan tingkap, menghadap bilik air, saya cuba mencari keselesaan dengan melunjurkan kaki sambil merehatkan pinggang yang mulai sengal-sengal.

Sekali pandang, di bawah lampu yang samar-samar, wad kelas tiga ini agak nyaman dan damai; jarak di antara katil memberi ruang selesa. Dengkuran pesakit di sebelah agak kuat tetapi tidak menganggu. Ada katil yang kosong. Tidak seperti pengalaman 20 tahun lalu di sebuah hospital awam yang padat sehingga tidak cukup katil menampung pesakit. Ketika saya diserang denggi. Saya terpandang di siling, ada penunjuk arah kiblat. Segera mengingatkan saya solat Maghrib dan Isyak yang belum ditunaikan. Saya sudah niat jamak takhir. Tandasnya juga bersih. Cukup melegakan. Syukur melimpah.

Ditempatkan dalam wad bukan perkara asing sejak saya menjalani operasi pembedahan pintasan jantung pada 2010. Hospital adalah rumah ketiga saya; persinggahan kedua adalah pusat dialisis, rutin rawatan tiga kali seminggu sejak lebih tiga tahun lalu. Klinik-klinik diabetes, ginjal, jantung dan mata ada jadual temujanji yang tetap.

Kerap juga pertemuan dengan doktor-doktor pakar yang terlepas susulan kelesuan melampau selepas cuci darah. Tiada pihak lain yang perlu dipersalahkan, semuanya kerana kealpaan diri terutama di waktu muda yang mengabaikan amalan hidup sihat dan pemakanan yang baik. Juga tabiat malas bersenam dan mengeluarkan peluh. Seorang pakar diabetes berulang kali mengingatkan, malah menegur keras, “gaya hidup anda menentukan hospital mana anda menghabiskan usia tua nanti”.

Malam pertama di wad 5D, katil 11 itu, saya, seperti malam-malam lain sejak tiga bulan lalu, memang susah melelapkan mata. Khabarnya majoriti pesakit ginjal kronik mengalami keadaan yang sama, selain bacaan tekanan darah yang sentiasa tinggi.

Sekitar jam dua pagi, sampel darah diambil untuk ujian. Agak sukar mendapat saluran darah yang betul, sehingga saya perhatikan riak wajah doktor wanita muda itu mulai berkerut. Dia mencuba tiga atau empat kali sebelum berjaya. Saya pejamkan mata bukan kerana mengantuk tetapi menahan pedih. Tidaklah sakit sangat pun, cuma saya jenis yang takutkan tengok jarum.

Sesekali bunyi mercun berdentum. Seperti berbalas-balas pula. Mujur pesakit lain tiada yang terjaga ekoran gangguan itu walaupun ada rengekan kecil kedengaran. Wad saya ini khusus untuk pesakit pembedahan. Kebetulan hospital ini dikelilingi kawasan perumahan. Banyak rumah pangsa dan apartmen berdekatan. Saya selalu juga bersama isteri mengunjungi restoran masakan Kelantan bersebelahan hospital. Nasi berlauknya, untuk sarapan pagi, jarang mengecewakan.

Menyedari darah sudah tidak mengalir apabila melihat balutan di lengan tiada kesan merah lagi, saya lebih tenang. Kipas yang berputar perlahan semakin menyejukkan suasana. Pesakit bersebelahan, sekitar usia 70-an, nampak damai lena bagai dibuai mimpi. Saya bangun, duduk di birai katil. Sesekali jururawat lalu, melihat saya, seorang daripadanya ramah bertanya khabar, “pakcik ada masalah? Tak boleh tidur? Apa boleh saya tolong?” Saya segera respons “dah biasa, susah nak tidur.”

Tiba-tiba terlintas sosok Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad sahabat lama, yang dikenali sejak dalam Pas dahulu. Terbayang tangungjawab besar, penting dan berat personaliti menarik itu yang kerap menyumbang tulisan untuk banyak penerbitan yang saya usahakan. Bagi pesakit seperti saya, kementerian kesihatan adalah potfolio utama dan menterinya dianggap kanan memegang jawatan strategik.

 

Bertemu muka

Selepas setahun Pakatan Harapan diberi mandat memerintah, saya hanya sempat bertemu muka dua menteri, iaitu Mohamad Sabu, Presiden AMANAH dan Khalid Samad, Pengarah Komunikasi parti. Perjumpaan dengan Menteri Pertahanan diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya, selepas waktu pejabat ketika Mat Sabu dalam perjalanan balik ke rumahnya di Shah Alam.

Beliau belum berpindah lagi ke kediaman rasmi waktu itu. Dengan Menteri Wilayah Persekutuan pula, sempena majlis permukiman media Malaysiadateline di Janda Baik; tidak sempat pun untuk berbual panjang dengan Khalid.

Dengan rakan-rakan menteri lain daripada AMANAH, saya setakat mengirim salam dan ucaoan tahniah. Ternyata mereka serius dengan tanggungjawab baharu dan tekun belajar bagi meningkatkan profesionalisme dan efisiensi. Moga idealisme luhur dapat diterapkan dengan baik, bagi menjayakan agenda pembaharuan dan reformasi.

Saya dinasihatkan untuk tidak berpuasa pada Sabtu itu. Ia bagi memudahkan apa-apa prosedur yang difikirkan perlu, ternasuk untuk menstabilkan tekanan darah saya. Bacaannya sehingga mencecah angka 235!

Saya terjaga satu jam sebelum azan subuh. Maknanya, tidur sekitar dua jam sahaja; satu kelaziman sejak mutakhir ini.

Justeru, saya terpaksa meneruskan tabiat buruk, iaitu tidur selepas solat subuh. Pagi itu, isteri maklumkan awal-awal lagi dia lambat datang kerana menyiapkan masakan nasi arab untuk anak berjualan di bazar Ramadan berdekatan Stadium MPS, Bandar Baru Selayang. Semenjak berhenti kerja, isteri banyak membantu menambah pendapatan dengan berniaga kecil-kecilan, Nasi Arab Siti Hawa, berperisa Melayu, secara online.

Ketenteraman pagi Sabtu itu agak berkocak selepas saya diberitahu kemungkinan fistula di lengan rosak dan memerlukan prosedur khas di leher untuk memasukkan peralatan untuk kegunaan hemodialisis. “Kalau fistula masih baik pun, ia terpaksa direhatkan sementara, sekurang-kurangnya untuk dua minggu. Kalau sudah rosak, memang kena pasang fistula baru,” kata seorang doktor muda.

Segera bertanya, apakah ada pilihan lain, dia menggeleng. Saya menyimpan kebimbangan dengan cuba mempamerkan wajah ceria walaupun jantung berdegup kencang. Teringat pembedahan kecil fistula tiga tahun lalu di HUKM. Memang tidak menyakitkan apabila dibius tetapi “merisaukan” apatah lagi peralatan di leher itu memerlukan jagaan rapi, terutama dari segi kebersihan, bagi mengelak jangkitan kuman.

Agak janggal mengambil sarapan di bulan Ramadan ini. Mihun goreng tanpa rasa itu hanya dijamah sejemput, dibilas kopi O tanpa gula. Sedih juga mengingatkan tahun ini tidak dapat berpuasa penuh sebulan seperti masa lalu walaupun selepas jalani dialisis. Sudahlah ibadah lain semakin longgar ditunaikan akibat uzur dan kelesuan melampau, Ramadan yang sering menyuntik kekuatan luarbiasa pun terabai.

“Puasa ‘kan tidak perlu buat apa-apa, tak perlu makan, tak perlu minum … kalau letih sangat, tidur aja,” bisik hati saya khususnya ketika menahan lapar dan pening sewaktu proses dialisis yang melesukan itu.

Isteri sampai menjelang tengah hari. Kelihatan agak penat namun wajahnya tetap ceria dan bibir menguntum senyum. Lapang hati saya. Penyejuk mata yang menyamankan. Tidak sempat bercerita panjang, kami diganggu nada panggilan telefon anak, Luqman Hakim. Isteri menyerahkan gajet kepada saya.

“Ayah, abang dapat call, beritahu …. nak ziarah ayah,” kata Luqman.

Saya tidak jelas butiran suaranya. “Timbalan pengerusi mana pula?” Tanya saya.

“TPM dan Anwar,” jelasnya sedikit meninggikan suara.

“Dr Wan Azizah dan Anwar Ibrahim?” Saya mohon kepastian.

“Ya, mereka minta bagitau jururawat kat wad, mungkin 10 minit lagi sampai,” sambung Luqman.

 

BERSAMBUNG

Pertemuan singkat pertama selepas menang dengan Menteri Pertahanan, yang juga Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, di sebuah hotel, di Petaling Jaya.