Malaysia Dateline

Sambut Halloween: “Arab kalau ‘gila’ memang lagi ‘gila’ dari barat”

Dr. Kamilin Jamilin menzahirkan rasa terkejut dengan pesta Halloween yang disambut secara terbuka di Arab Saudi baru-baru ini.

Beliau yang berpuluh-puluh tahun menimba ilmu di negara itu sedih dengan apa yang berlaku sama ada ianya mendapat kebenaran rasmi kerajaan, hakikatnya ia telah berani disambut secara terang-terangan, sesuatu yang tidak pernah dilihat beberapa tahun lalu.

“Secara peribadi, saya sendiri sangat sedih dengan apa yang berlaku di sana sejak dua menjak ini. Masakan tidak, hampir sepuluh tahun menimba ilmu di sana, empat tahun daripadanya di ibu kota Riyadh yang penuh dengan kenangan. Siapa yang redha? Tanyalah sesiapa sahaja yang pernah belajar di sana, pasti semua mereka sedih dan kecewa.

“Ketika saya meninggalkan bumi Riyadh pada tahun 2013 untuk pulang ke tanah air, masih tiada kemungkaran besar di sana yang boleh dilakukan secara terbuka.

“Namun selang beberapa tahun kemudian, perubahan dasar pemerintah mula terjadi, sehinggakan konsert hiburan mula dilakukan secara terbuka dan kemudian satu demi satu pintu hiburan ala barat dibuka demi mencapai visi 2030 yakni menjadikan Arab Saudi sebagai “Eropah” di Asia Tengah,” kata beliau dalam hantaran di Facebooknya.

Sambut Halloween: Arab kalau "gila" memang lagi "gila" dari barat

Beliau membayangan mungkin Arab Saudi mahu pertumbuhan ekonomi besar persis Eropah maka reformasi besar-besaran perlu dilakukan.

“Yang pernah duduk di sana pasti tahu, Arab kalau “gila” memang lagi “gila” dari barat.

“Mungkin ada yang kata: “Biasalah tu, negara Islam atau Arab lain pun banyak sahaja kemungkaran yang berlaku, apa yang pelik kalau Saudi buat?”.

“Sebenarnya kita sedih kerana perubahan atau proses liberalisasi yang terjadi berlaku begitu drastik.

“Baru sahaja beberapa detik sebelum ini suara ulama di sana didengari, dihormati dan sangat dominan. Pandangan mereka dijadikan polisi dan paksi pentadbiran.

“Mungkin keadaan di sana masih lagi lebih baik daripada sebahagian negara Islam atau negara arab lain, cuma kita terkilan melihat sebuah negara yang menjaga dua tanah suci umat Islam dan sebelum ini terkenal dengan ketegasan menjaga tauhid, berubah dengan begitu drastik sehingga sengaja membuka satu demi satu pintu kemungkaran yang sangat dibimbangkan oleh orang yang beriman. Kita risau ianya semakin memburuk sampai sukar lagi untuk ditutup pintu-pintu kerosakan itu,” katanya lagi.

Malangnya kata beliau, suara para ulama mereka tidak lagi segagah dahulu untuk mudah-mudah didengari oleh pihak pemerintah.

“Sedikit sebanyak, ianya telah mengubah landskap perjuangan ilmu dan dakwah di sana. Kita perlu terima bahawa kebenaran tidak terletak di tangan pemerintah, bahkan apa yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah. Iman dan takwa itu tempatnya di dalam diri, bukan pada negeri,” ujar beliau.

Baca juga: “Kita paling awal buka, kita paling awal yang buang”-Jentera pilihan raya Arau hilang semangat tanpa Shahidan Kassim