Sambut ‘merdeka 2.0’ dikalangan veteran di Kelantan

Oleh ZIKRI ABDULLAH

 

Mohd Nasir Ismail

Sambutan kemerdekaan tahun ini seperti sambutan merdeka Kali kedua atau “merdeka 2.0” bagi sekumpulan veteran di Kelantan.

“Selepas kami merayakan kemerdekaan daripada British dahulu, kali ini negara bebas dari pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang dipenuhi korupsi,” kata Naib Pengerusi Kelab Pemilik Mercedes Klasik Kuala Krai (KKMOC), Mohd Nasir Ismail.

Beliau berkata demikian ketika menyertai kempen kibar Jalur Gemilang anjuran AMANAH Kelantan di Kota bharu semalam.

Menurutnya, rakyat negara ini perlu menyokong usaha pembaharuan pasca BN yang digerakkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Dengan terbongkarnya pelbagai skandal Dan penyelewengan kerajaan dahulu (BN), peluang mesti diberi untuk sistem baru yang telus dan bersih diwuudkan.

“Selepas 61 tahun negara kita sepatutnya jauh lebih ke depan, tapi malang kerana cara BN salah urus pentadbiran menjadikan kita masih ketinggalan.

“Kita bersyukur kerana pemerintahan khianat telah dapat dihentikan dan kita yakin pentadbiran baru oleh Tun Dr Mahathir akan mengubah haluan negara ke arah yang lebih baik”, katanya.

Sementara itu, Pengerusi AMANAH Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang mengetuai kempen itu berkata AMANAH dan parti-parti komponen PH di Kelantan akan mengadakan pelbagai acara menyambut hari kemerdekaan kali ini

“Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara( LKTN) akan mengadakan satu program khas pada 31 Ogos ini,” ujarnya yang juga pengerusi lembaga pengarahnya.

Menurutnya, satu konvoi merdeka akan bergerak dari ibu pejabat LKTN di Kubang Kerian jam 7 pagi hari tersebut.

“Konvoi berkenaan dijangka tiba di kampung Kandek Jelawang jam 12 tengahari.

“Pihak LKTN akan mengadakan program khas “Bicara Kenaf” bersama penduduk sekitar kawasan itu dan menyediakan makanan tengahari kepada yang hadir,” katanya.

Konvoi merdeka itu katanya akan berlepas pulang selepas solat Jumaat melalui Kuala krai dan dijangka tiba di Kota Bharu pada jam 7 petang.