Sambutan 3 tahun AMANAH di Temerloh 22 September

Sambutan 3 tahun AMANAH di Temerloh 22 September

Parti Amanah Negara (AMANAH) akan mengadakan Sambutan 3 Tahun AMANAH di Temerloh pada 22 September ini sebagai satu apresiasi kepada rakyat yang telah membuat perubahan besar pada PRU14 lalu.

Setiausaha Agung AMANAH Mohd Anuar Tahir berkata, sambutan julung kalinya diadakan selepas PRU pada Mei lalu umpamakan satu kenduri kepada rakyat yang telah membuktikan berlakunya demokrasi yang damai.

“Peristiwa ini sangat besar di mana rakyat telah melaksanakan apa yang disebut dalam perlembagaan negara bahawa Tanah Melayu akan kekal sebuah negara demokrasi selama-lamanya.

“Jadi pada 9 Mei lalu rakyat Malaysia telah membuktikan demokrasi berjalan dengan jayanya di negara ini tanpa ada kekecohan atau nyawa yang melayang,”katanya seperti dilapor Mingguan Amanah.

Tambahnya, tanpa kuasa rakyat rejim yang mentadbir selama enam dekad akan menjadi satu kurun namun keberanian rakyat untuk berubah akhirnya wujud sebuah kerajaan baharu, Pakatan Harapan.

“Saya boleh katakan ini program rakyat Malaysia merayakan demokrasi negara, di mana sistem penggiliran setiap lima tahun untuk rakyat tukar kerajaan menjadi kenyataan pada 9 Mei,” ujarnya.

Sambutan kali ini yang diibaratkan sebuah karnival atau festival akan diisi dengan program-program sosio politik dengan menyediakan segmen bual bicara bersama menteri-menteri AMANAH.

“Menteri AMANAH akan berdialog dengan rakyat berkenaan isu-isu penting dan mereka kena bersedia menjawab segala kemusykilan yang diajukan rakyat nanti,”kata beliau.

Walaupun perancangan mengadakan sambutan ini agak tergesa-gesa, jelas Anuar pihaknya akan memastikan sambutan ini berjalan dengan lancar.

Katanya, sambutan akan diadakan di sebuah dataran di Temerloh yang bakal memuatkan kira-kira 15,000 ahli, penyokong AMANAH dan Pakatan Harapan.

Berbagai-bagai aktiviti menarik yang akan disediakan penganjur antaranya aktiviti kebudayaan semua kaum, program berbentuk penerangan pendidikan, pemeran expo yang akan didirikan, pelancaran buku dan konsert yang melibatkan seniman ternama tanah air.

Program yang dijadualkan bermula seawal jam 8.00 pagi sehingga 12 tengah malam turut melibatkan agensi-agensi kerajaan seperti Hospital Temerloh di mana mereka akan membuka ‘booth’ derma darah, pasukan bomba yang akan mempersembahkan demontrasi menyelamat, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pertahanan awam, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan banyak lagi.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0