Malaysia Dateline

Sambutan Ambang 2020: Pengunjung terpukau persembahan 300 unit dron

Sebanyak 300 unit dron yang menghiasi langit di Dataran Merdeka, malam tadi memukau 80,000 pengunjung yang hadir bagi menyambut Ambang [email protected] Lumpur.

Marwa

Wau, durian, beca dan nombor berukiran ‘2020’ antara sebelas formasi grafik yang disajikan selama sepuluh minit kepada pengunjung diikuti percikan bunga api.

Menerusi pemerhatian wartawan, rata-rata pengunjung yang duduk di atas padang Dataran Merdeka, mengeluarkan telefon bimbit masing-masing bagi merakam saat menarik selama sepuluh minit itu.

Mereka kelihatan terpukau dan teruja sebaik sahaja 300 unit dron itu mula menghiasi langit bermula jam 12 tengah malam.

Menariknya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan menteri kabinetnya termasuk Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad turut terpesona melihat persembahan yang menggunakan teknologi dron itu.

Pelancong dari Tunisia, Marwa, 27, menyifatkan persembahan dron itu sebagai sesuatu yang menakjubkan.

“Saya sangat suka melihat persembahan dron itu. Lebih-lebih lagi ia mempamerkan bentuk-bentuk yang berkaitan dengan negara Malaysia.

Jerzy

“Persembahan itu pastinya sesuatu yang akan saya ingati sampai bila-bila. Sambutan Tahun Baharu 2020 pada malam ini (malam tadi) juga sangat menarik kerana adanya persembahan artis tempatan dan luar negara,” katanya.

Seorang lagi pelancong dari Poland, dikenali sebagai Jerzy, 58, pula tidak menyangka dapat menyambut tahun baharu 2020 di Malaysia.

“Saya ingin ke China selepas ini, tetapi rasa ingin bercuti di Malaysia terlebih dahulu. Kebetulan apabila saya berada di sini, sambutan yang menarik turut diadakan.

“Ya, saya sukakan cara rakyat Malaysia yang berbilang kaum menyambut tahun baharu bersama-sama. Ia sesuatu yang unik,” katanya sambil memuji Malaysia adalah sebuah negara yang cantik.

Difahamkan, persembahan 300 unit dron itu adalah kali pertama dilakukan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebagai mercu tanda pembuka kempen Melawat Malaysia 2020 yang dikelola oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

 

Angka 2020 yang disusun menggunakan dron
Cahaya Dron yang membentuk sekuntum bunga Raflesia yang hanya terdapat di Sarawak.