Malaysia Dateline

Sambutan ambang Merdeka disambut meriah

Ribuan warga kota membanjiri pekarangan hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka semalam bagi meraikan sambutan ambang merdeka yang disambut meriah sejak jam 8 malam tadi.

Bertemakan “Sayangi Malaysia ku, Malaysia Bersih” yang menjadi tema untuk Hari Kemerdekaan 2019, sambutan dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Kemuncak sambutan ambang merdeka ketika Khalid mengetuai laungan merdeka sebanyak tujuh kali. Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Noor Hisham Dahlan.

Majlis diserikan dengan kiraan detik menjelang 12 tengah malam sebelum orang ramai yang hadir bersama-sama menyanyikan lagu ‘Negaraku’ ketika Jalur Gemilang dinaikkan dan lagu Malaysia Bersih sebagai menandakan tibanya tarikh keramat 31 Ogos.

Ribuan rakyat dan pelancong asing memenuhi Dataran Merdeka dan kawasan bagi sambutan Ambang Merdeka yang diserikan dengan penganjuran konsert dari penyanyi popular.

Program seawal jam 8.30 malam itu dimulakan dengan persembahan Assalam Busker, Deklamasi puisi, persembahan Topeng Cina, pertunjukan Silat Bangau Putih, serta tarian kanak-kanak ART-KL.

Selain itu persembahan artis seperti Yassin Sulaiman, Wan Aishah Wan Ariffin, dan Datuk Ramli Sarip, Monologie, Roy, Sani Sudin Kopratasa menggamatkan sambutan di Dataran Merdeka.