Sambutan Hari Hak Asasi Manusia pada 8 Disember diputuskan pada Oktober, kata Suhakam

Sambutan Hari Hak Asasi Manusia pada 8 Disember diputuskan pada Oktober, kata Suhakam

Keputusan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk mengadakan Sambutan Hari Hak Asasi Manusia pada 8 Disember telah diputuskan pada Oktober, kata Pengerusinya Tan Sri Razali Ismail.

Beliau berkata tarikh untuk sambutan itu diputuskan pada 18 Oktober mengikut tarikh yang disediakan oleh Pejabat Perdana Menteri.

Oleh itu, Razali menyangkal dakwaan bahawa sambutan itu ialah untuk mengganggu demonstrasi anti-ICERD (Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) yang jatuh pada tarikh yang sama.

Semalam media melaporkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan ucaptama pada himpunan anjuran Suhakam itu yang akan diadakan di Padang Timur Petaling jaya pada jam 9 pagi hingga 3 petang, Sabtu ini.