Malaysia Dateline

Sambutan Kemerdekaan, rakyat Malaysia hargai nilai bendera Malaysia

Keistimewaan Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum hidup secara aman dan harmoni tidak perlu diceritakan lagi dan suasana itu dapat dilihat ketika sambutan Hari Kemerdekaan yang disambut meriah di Dataran Putrajaya, hari ini.

Dikala negara dilanda isu yang paling meruncing melibatkan kaum dan budaya masyarakat Malaysia, sejauh mana rakyat Malaysia menilai perpaduan dalam masyarakat dan menghargai bendera kebangsaan negara.

Mohd Izzudin Md Noor

Seorang pekerja swasta, Mohd Izzudin Md Noor, 29, hari ini mengenakan tema tradisional Melayu berwarna ‘maroon’ bagi menunjukkan semangat sambutan kemerdekaan sekali qgus menonjolkan salah satu warna di dalam jalur gemilang.

“Saya begitu sayangkan negara Malaysia dan sebagai lambang saya menghormati bendera, hari ini saya mengenakan pakaian tradisional Melayu berwarna maroon. Ada lah sikit ikut warna jalur gemilang kita.

“Perpaduan antara kita sangat penting. Saya kira tak wajar untuk beberapa pihak yang cuba mematikan semangat bersatu padu yang dah kita bina ni dengan membangkitkan kemarahan orang ramai dengan cara menterbalikkan bendera Malaysia. Itu bendera kita, lambang kehormatan setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, anak muda, Darrel Loh Hoe Theng, 21, menyifatkan cubaan memasang bendera secara terbalik itu sebagai perkara yang tidak wajar dilakukan di kala perpaduan antara kaum sudah utuh sejak dahulu.

Darrel Loh Hoe Theng

“Setiap rakyat Malaysia perlu menghormati bendera Malaysia. Saya rasa mereka yang buat itu, memang tak hormat perasaan kita sebagai rakyat Malaysia. Lihat sahaja kawan saya, siap guna bendera sebagai samping,” ujarnya.

Ia turut dipersetujui Mae Chuah, 21 yang lebih rela mengambil sudut positif bahawa sememangnya wujud kemungkinan bendera terbalik itu dipasang secara tak sengaja.

“Saya rasa memang ada pihak yang tak sengaja buat begitu, tapi kalau sengaja, memang tak baik. Tekanan perkauman juga memang ada tapi kalau nak beri gambaran luas dari sambutan hari ini, dapat lihat keharmonian antara kaum tu masih baik.

“Saya harap hubungan baik antara kita terus kekal. Saya juga ramai kawan Melayu dan India. Kami tak ada masalah berkawan rapat,” ujarnya.

Mae Chuah

Bagi kerani swasta, Jaythi Gopal, 37, kemerdekaan hari ini paling bermakna buatnya yang pertama kali menyambutnya di Putrajaya bersama keluarga dan adik beradik.

“Kita sebagai rakyat Malaysia kena hormati bendera Malaysia sebagai lambang negara. Adanya tiga bangsa ini, saya berharap kita sendiri menghormati perasaan kaum lain. Kita seperti adik beradik, tak nak lah bergaduh.

“Anak saya belajar di MRSM dan bergaul dengan rakan-rakan Melayu. Suami saya pula driver lori dan bergaul dengan rakan Cinanya. Saya harap tak ada timbul isu mempermainkan bendera Malaysia,” ujarnya.