Malaysia Dateline

Sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Wilayah, fokus taut budaya toleransi

Sambutan Tahun Baru Cina yang akan diadakan serentak dengan Hari Wilayah Persekutuan pada 21 Februari ini, memfokuskan nilai budaya toleransi dan semangat kerukunan antara masyarakat berbilang kaum dalam negara.

Pengarah Komunikasi AMANAH Wilayah Persekutuan, Mohd Yusof Ahmad, berkata perayaan sambutan seumpama ini mampu menjadi serampang dua mata bagi menangani isu perkauman yang sering ditimbulkan sesetengah pihak.

Malah katanya, ia mampu mentautkan semangat kekitaan sekali gus membendung budaya mencaci agama kaum lain di negara ini.

“Pogram ini bukan sahaja bertujuan membina hubungan akrab antara komuniti Tionghua, malah dapat mewujudkan suasana kerukunan antara masyarakat berbilang kaum.

“Kehadiran masyarakat Melayu beragama Islam dalam program sebegini mampu menangkis tanggapan yang salah terhadap pesta sambutan tahun baru.

“Ini kerana umumnya, meraikan rakan-rakan kita dari bangsa yang lain tidak menyalahi mana-mana hukum syarak,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Tambah menarik katanya, beberapa aktiviti yang melambangkan adat sambutan tahun baru Cina seperti Yee Sang, Tarian Singa dan pemberian Ang Pow, membolehkan pengunjung memahami lebih dekat budaya masyarakat Tionghua.

Jelasnya, masyarakat majmuk di Wilayah Persekutuan khasnya dapat menyaksikan bahawa Tahun Baru Cina adalah satu perayaan yang dianggap besar oleh masyarakat Tionghua dengan adanya program seumpama ini.

Untuk rekod, Sambutan Berkembar ini merupakan anjuran AMANAH Wilayah Persekutuan (WP) dengan kerjasama beberapa NGO tempatan seperti Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN), Skuad Prihatin Kepong dan Pembimbing Remaja Kuala Lumpur.

Program tersebut dijangka akan disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan.

Lokasi sambutan pula akan diadakan di Dataran PPR Laksamana, Jalan Peel, Pudu, Kuala Lumpur, bermula jam 6.00 petang hingga 9.30 malam.

Bagi memeriahkan lagi program ini, beberapa pengisian diatur dari awal hingga akhir. Antaranya:

i. Makan Malam
ii. Yee Sang
iii. Tarian Singa
iv. Ucapan-ucapan Pimpinan PH dan Menteri Wilayah Persekutuan
v. Cabutan bertuah dan
vi. Penyampaian Hamper dan Ang Pow

Program juga akan diserikan dengan persembahan telatah dua pengacara iaitu seorang pemuda Melayu yang bijak menarik perhatian pengunjung, bergandingan dengan seorang pemudi Tionghua yang fasih berbahasa kebangsaan.

Menu istimewa juga akan disediakan yang melambangkan budaya masyarakat Malaysia seperti nasi dengan berbagai lauk-pauk, laksa, koay teow, cendol, dim sum, pau serta buah-buahan menjadi hidangan untuk para pengunjung.