Malaysia Dateline

Sambutan ulang tahun Merdeka di Pulau Pinang meriah

TYT Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang bersama Ketua Menteri dan barisan pimpinan kerajaan negeri semasa sambutan perarakan Hari Kemerdekaan di Butterworth semalam.

Sambutan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan negara kali ke-62 telah disambut meriah di Pulau Pinang apabila perarakan yang terdiri dari 6,500 anggota yang terdiri dari 99 kontinjen berjalan kaki dan 14 kontinjen berkenderaan memulakan perarakan mereka di Dataran Pemuda Merdeka, Jalan Bagan Luar, semalam.

Majlis yang turut diraikan oleh TYT Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Dr Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff turut menerima tabik hormat perbarisan bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman serta barisan exco dan kepimpinan kerajaan negeri.

Perarakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri Pulau Pinang semalam di Butterworth.

Sambutan dimulai dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh Angkatan Tentera, nyanyian lagu Negara Ku dan Untuk Negeri Kita serta bacaan ikrar Rukun Negara.

Acara tersebut juga semakin gamat dengan laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali yang dilaungkan.

Selain itu majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dan tarian yang merangkumi kumpulan etnik dalam negara ini.

Juga dipersembahkan ialah deklamasi puisi kemerdekaan, persembahan lagu-lagu patriotik serta persembahan pancaragam oleh beberapa pasukan yang mewakili sekolah masing-masing.

Perarakan tersebut turut disertai oleh agensi kerajaan negeri dan pusat, pertubuhan bukan kerajaan serta juga pasukan beruniform berjaya menarik perhatian para hadirin yang telah membanjiri dataran tersebut sejak awal pagi lagi.

Rata-rata majlis perarakan tersebut telah berjaya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri dari semua kaum dan usia yang telah sanggup memenuhi Dataran Pemuda Merdeka tersebut.