SAMM buat laporan polis berhubung pemalsuan tandatangan Deklarasi Rakyat

SAMM buat laporan polis berhubung pemalsuan tandatangan Deklarasi Rakyat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini membuat laporan polis berhubung pemalsuan tanda tangan bagi projek Deklarasi Rakyat.

Penyelaras bersama SAMM Pulau Pinang, Ahmad Azrizal Tahir berkata laporan tersebut dibuat kerana ia melibatkan kepentingan umum.

“Berdasarkan pendedahan pemalsuan tanda tangan oleh blog Chegu Bard (Badrul Hisham Shaharin, pengasas SAMM), kami merasakan bahawa laporan polis perlu dilakukan supaya polis boleh menyiasat kes ini.

“Ini kerana, tanda tangan yang telah dikumpul dengan usaha penipuan itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Bayan Baru hari ini.

Ahmad Azrizal berkata SAMM juga akan membuat laporan polis di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu atas isu yang sama.

Pada 26 Mei lalu, dalam sidang media yang sama, Chegubard turut menjemput seorang individu bernama Azharuddin bin Othman @ Abdullah yang mendakwa terlibat dalam penipuan tersebut sekaligus mendedahkan kegiatan sebenar di sebalik pengumpulan 1.2 juta tandatangan yang terdapat dalam Deklarasi Rakyat.

Azharuddin dalam sidang media yang sama turut mengaitkan pembabitan seorang wanita yang dikenali sebagai Ratu Naga yang menawarkannya RM5,000 untuk mendapatkan 900,000 nama  bagi tujuan tersebut.

Bagaimanapun Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah dalam satu sidang media keesokan harinya mengakui tidak mengenali Azharuddin yang mendakwa menjual data base mengandungi 900,000 nama bagi Deklarasi Rakyat kepadanya.

Ema yang meragui kredibiliti lelaki tersebut malah mempelawa mana-mana peguam yang berminat untuk membantunya menyaman Azharuddin.

TAGS