Malaysia Dateline

Sampah berlonggok di PKRC UiTM Cendering, Terengganu siapa bertanggungjawab

Siapakah yang bertanggungjawab untuk menguruskan sampah yang berlonggok-longggok di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) UiTM Cendering, Terengganu kini menjadi perbahasan hangat dalam sosial media.

Ia bermula apabila seorang netizen, Mohd Zamani Ayub menyiarkan gambar-gambar sampah berlonggok-longgok di merata tempat dalam PKRC berkenaan yang tidak diuruskan.

Ekoran itu, Timbalan Exco Terengganu, Hishamuddin bin Abdul Karim telah berkata, sampah di dalam PKRC tidak diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tetapi oleh Kementerian Kesihatan secara langsung.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO berkata, asal tular, semua disalahkan kerajaan negeri. Slogan Maju Berkat Sejahtera dijadikan bahan sindiran.

“Sefaham saya, pengurusan PKRC ni di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Pengurusan buangan sisa berkait penyakit Covid-19 disifatkan seperti sisa klinikal. Ia perlu dilupuskan.

“Kerja ini pula di bawah sebuah syarikat kontraktor yang telah dilantik di bawah kementerian. Ia bukan di bawah seliaan mana-mana PBT.

“Pembuangan sisa klinikal ini hendaklah di satu kawasan yang khas. Pusat pelupusan ini katanya tiada di Terengganu. Semua diangkut ke Lembah Kelang.

“Saya pohon pihak berwajib segera tanggani isu ini dengan sewajarnya. Nanti selepas majlis angkat sumpah kabinet, kita mesej YB Menteri Kesihatan. Minta jasa baik Kementerian Kesihatan dapat membantu usaha pembuangan sisa ini,” tulis Adun Tepoh itu dalam facebook beliau.

Namun begitu, Azreen Mohamed menjawab, sekarang bukan masa untuk salahkan sesiapa, bukan masa nok tuding jari dalam isu ini.

“Sekarang pihak berwajib patut bekerjasama untuk selesaikan masalah ni,” kata beliau menjawab penjelasan Hishamudin itu.

Ekoran kegagalan isu ini diselesaikan, Lynn Ismail menulis,”Baiklah. Kita tunggu DS Ahmad Said minta PM mari Terengganu selesai masalah sampah pulak ye.”