Malaysia Dateline

Sampah, lumpur, ketiadaan tilam dan kenderan rosak masalah utama pasca banjir

Masalah sampah yang berlonggok, rumah yang penuh lumpur, tilam rosak dan kenderaan yang rosak akibat ditenggelami air menjadi masalah utama mangsa banjir di seluruh negara termasuk di Selangor.

Ini berikutan barangan rumah mangsa banjir ini rosak selepas digenangi air banjir beberapa hari ini.

Longgokan sampah di Kampung Kebun Bunga.

Barangan yang rosak ini sudah menjadi sampah kerana tidak boleh lagi digunakan kemudiannya dilonggokkan di luar rumah.

Apabila semua rumah terpaksa berbuat demikian, ia menyebabkan sampah dari barangan yang rosak ini berlonggokan di luar rumah masing-masing.

Kenderaan yang dipenuhi lumpur selepas banjir surut.

Perkara ini disedari oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

Ketika beliau bersama petugas ke Kampung Kebun Bunga, Shah Alam, beliau menyedari masalah ini.

“InshaAllah kita akan selesaikan masalah longgokan sampah secepat mungkin bagi memberikan keselesaan kepada penduduk setempat,” kata beliau.

Di tempat lain pula, masalah lumpur yang memenuhi rumah mangsa banjir ini menjadi masalah utama.

Lumpur setebal sehingga satu atau dua kaki ini memenuhi rumah mereka di samping dinding yang penuh dengan lumpur.

Ia dihadapi oleh penduduk Kampung Baru Hicom.

Ekoran itu, Khalid telah cuba membantu mereka dengan memberikan bantuan water jet untuk dikongsi oleh penduduk di situ bagi membersihkan rumah mereka.

Di Apartment Perdana Seksyen 13 pula, Khalid berbincang langsung dengan penduduk di situ apa masalah mereka selepas banjir ini.

Ia sudah tentu berbeza dengan penduduk yang tinggal di rumah atas tanah.

Khalid menyumbangkan toto yang disumbangkan oleh orang ramai kepada mangsa banjir.

Masalah utama mereka adalah kenderaan mereka yang rosak teruk akibat ditenggelami banjir.

“Kami juga sempat bertanya khabar dan mendapatkan maklumat tentang apa yang diperlukan oleh mereka.

“InshaAllah kita akan cuba untuk membantu sehabis daya bagi meringankan beban mereka yang terlibat,” kata Khalid dalam catatan di facebook beliau.

Khalid juga telah menyumbang toto untuk mereka yang kehilangan tilam selepas rosak terutama unit-unit yang terletak di bawah selepas ditenggelami air banjir.