Malaysia Dateline

Sampah merata-rata, tandas kotor, taraf kebersihan lapangan terbang Pulau Pinang mengecewakan

Tong sampah yang tidak bersih, kebersihan tandas yang teruk, jambatan naik yang kotor dan banyak lagi kebersihan yang tidak diselenggara dengan sempurna menjejaskan reputasi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA). 

Kekesalan ini dizahirkan oleh Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin setelah beliau secara peribadi melihat tong sampah yang tidak bersih serta tandas yang teruk seperti mana yang dizahirkan netizen melalui platform media sosial baru- baru ini. 

“Bayangkan menunggu untuk menaiki kapal terbang dalam persekitaran lapangan terbang yang tidak menyenangkan atau melihat sampah bersepah di sekitar lapangan terbang ketika anda melangkah keluar dari kabin, ia tidak menjadi lebih baik dengan kemudahan asas yang sudah lapuk di mana semuanya akan membawa pelancong menganggap bandar ini kurang maju. 

“Pengurusan kebersihan lapangan terbang yang teruk akan menjejaskan reputasinya dan menjejaskan segala usaha kerajaan negeri yang telah aktif mempromosikan inisiatif pelancongan bagi menarik pelancong tempatan dan luar negara. 

“Jabatan terlibat harus segera mengambil tindakan bagi memperbaiki pengurusan kebersihan lapangan terbang yang lemah seperti membersihkan ruang awam dan tandas serta memastikan pintu pagar pintar berfungsi seperti biasa,” ujar beliau. 

Malah tambah Yeoh, penyelesaian jangka pendek perlu dilaksanakan segera walaupun pihak berkuasa lapangan terbang memaklumkan bahawa proses penukaran kontraktor pembersihan sedang dilaksanakan. 

Tegasnya, standard kebersihan yang tidak sesuai dengan lapangan terbang antarabangsa harus diambil tindakan dengan segera termasuklah melakukan pemeriksaan rutin ke atas infrastruktur dan pintu pagar pintar bagi memastikan kemudahan asas lapangan terbang sedia ada berkonsepkan mesra rakyat. 

Baca juga: Elak fitnah dan auta, lebih baik Hadi Awang tumpu dakwah dan agama

Baca juga: Dakwa ‘disembelih’ syarikat pengendali rider mogok hari ini

Baca juga: Tidak serik ditahan polis, warga emas tabur duit hasil mengemis kepada penyanyi dangdut