Sampah, parkir, jenayah hantui penghuni flat kos rendah

Sampah, parkir, jenayah hantui penghuni flat kos rendah

Realiti hidup masyarakat berpendapatan rendah di kawasan bandar. Itu rumusan awal hasil pemerhatian Malaysia Dateline di beberapa blok Rumah Pangsa Desa Mentari di Petaling Jaya Selatan, Selangor baru-baru ini.

 

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Realiti hidup masyarakat berpendapatan rendah di kawasan bandar. Itu rumusan awal hasil pemerhatian Malaysia Dateline di beberapa blok Rumah Pangsa Desa Mentari di Petaling Jaya Selatan, Selangor baru-baru ini.

Tinjauan bersama wakil penduduk yang mahu dikenali sebagai Ahmad di penempatan padat dekat Jalan Klang Lama itu mendapati penghuni terdedah kepada pelbagai ancaman keselamatan dan kesihatan.

Ruang sempit motor terdedah kepada kes kecurian.Di Blok 2, terdapat timbunan tinggalan perabot rosak, tilam dan tayar lama selain bungkusan-bungkusan besar di luar tempat pembuangan sampah.

Barangan terbuang itu terbiar untuk tempoh lama sekaligus menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes sekaligus mendedahkan komuniti setempat kepada risiko demam denggi.

Reka bentuk ‘kotak’ pada flat kos rendah berusia lebih 10 tahun itu yang padat dan rapat menyebabkan pergerakan udara di ruang tengah dan terbuka begitu terhad.

Di satu sudut berdekatan tangga terdapat sejumlah rangka motorsikal yang dipercayai dicuri juga terbiar untuk jangka masa lama.

Walaupun terdapat papan amaran membanteras jenayah dari Balai Polis Sungai Way tetapi Ahmad memberitahu deretan motor di parkir memang terdedah kepada risiko kecurian.

Pada masa sama, sikap segelintir penghuni yang memandang remeh tentang kebersihan persekitaran dapat dilihat apabila ada yang sesuka hati membuang sampah atau meludah dari tingkat atas.

Kebetulan ketika tinjauan Malaysia Dateline, berlaku kejadian botol plastik, bungkusan makanan dibuang selain orang meludah.

Ahmad mengakui insiden tersebut sudah menjadi satu kebiasaan di flat dihuni lebih 500 keluarga itu.

Sikap buruk tersebut dilihat berbahaya kepada pejalan kaki termasuk kanak-kanak memandangkan di tingkat bawah terdapat Sekolah Kafa Integrasi Aiman, Pasti Aiman serta Tabika Kemas Cahaya Desa Mentari.

Contengan ‘Mahadir’

Hawariah terpaksa menolak kereta yang diparkir menghalang kenderaannya.Masalah parkir kereta semakin ketara menghantui penduduk terutama setiap pagi dan lewat petang hari bekerja.

Suri rumah Hawariah Yahya, 50, misalnya sedang menolak kereta milik penghuni flat itu yang diparkir berlapis sehingga menghalang kenderaannya di petak parkir untuk keluar.

Zainal“Saya sudah lebih 10 tahun tinggal di Desa Mentari. Dulu tinggal di Kampung Lindungan sebelum berpindah ke sini. Masalah parkir dan kebersihan memang teruk di flat ini,” ujarnya.

Ibu kepada lapan anak itu juga memberitahu, gejala sosial dalam kalangan remaja juga berada di tahap membimbangkan bahkan pergaulan bebas mereka termasuk bermain motorsikal sehingga larut malam mengganggu keselesaan penduduk.

Sementara itu, pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Zainal memberitahu terdapat segelintir penduduk tidak bertanggungjawab hanya membiarkan bungkusan sampah di tangga.

“Namun, sejak ada JMB pegang baru tahun ini, nampaknya masalah ini sedang diatasi. Apapun, saya kira penduduk kena sepakat sama jaga kebersihan demi kebaikan kita bersama,” ujarnya yang berasal dari Bagan Datoh, Perak.

Bagi seorang penghuni yang mahu dikenali sebagai Shankar, 45, masalah longkang kerap tersumbat memburukkan lagi persekitaran ekoran sisa makanan dan minyak dari beberapa premis restoran di tingkat bawah flat itu.

Shankar“Nyamuk banyak sebab selalu sangat longkang tersumbat. Itu minyak, air kotor juga dari kedai makan masuk longkang. Ada juga kencing di tangga. Kalau pagi-pagi boleh tengok sampah bertabur termasuk atas kereta yang diparkir,” keluhnya yang sebelum ini tinggal di Kampung Limau dekat Pantai Dalam.

Rakannya Kumar, 47, turut mengakui penduduk terutama golongan wanita terdedah menjadi mangsa kes jenayah.

“Kami harap polis selalu ronda kawasan ini. Kes ragut selalu terjadi. Motor kalau letak sekejap pun, boleh hilang sebab rantai itu kasi potong,” ujarnya lagi.

Tinjauan Malaysia Dateline selama lebih sejam di Blok 2 Desa Mentari pada tengah hari 8 Mac lalu itu juga mendapati sebahagian dinding di tingkat bawah flat tersebut dipenuhi contengan tertera perkataan ‘Mahadir’ selain grafiti berbaur lucah.

TAGS