Malaysia Dateline

Sampah plastik atau ‘manusia sampah’ lebih bahaya?

Krisis sampah di Libya menjadi antara paparan berita ringkas luar negara di Buletin Utama malam ini. Sebenarnya, negara kita pun sedang ditimbuni sampah. Hanya rata-rata pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia rajin kutip dan sapu sampah.

Hanya kita tidak tahu sejauhmana sampah-sampah itu kemudiannya berakhir memandangkan kita masih menggunakan cara konvensional dalam melupuskan sisa pepejal.

Loji insinerator sisa kepada tenaga (WTE) terbesar di negara kita pun masih peringkat akan dibina di Jeram, Kuala Selangor, dengan fasa pertama dijangka siap beroperasi menjelang 2022.

Dua tahun dari sekarang, sampah terutama sisa plastik terus menggunung dan mengundang ancaman kepada hidupan di lautan ditambah sikap sebahagian masyarakat kita yang membuang sampah plastik merata tempat.

Siapa yang selalu merentas hutan dan mendaki bukit atau gunung mesti perasan sampah plastik semakin mudah dilihat dibuang di kiri kanan jalan.

Contohnya, jika anda menyusuri siar kaki di Jalan Pantai Permai dalam Parlimen Lembah Pantai, Kuala Lumpur dari pintu gerbang Hillpark menuju ke pintu masuk Hutan Pendidikan Bukit Gasing, bersepah sampah berupa botol mineral dan bungkusan plastik.

Tanpa rasa bersalah, botol minuman plastik dibuang di tepi siar kaki menuju ke pintu masuk Bukit Gasing dari Jalan Pantai Permai.

Pokok simpoh air (Dillenia suffruticosa) di jajaran itu yang buahnya merah berbunga kuning seolah-olah dibajai dengan sampah plastik! Malah,longgokan sampah plastik dibiar begitu sahaja di belakang Pusat Komuniti Lembah Pantai.

Hairan sungguh dengan sikap sebahagian masyarakat kita. Mereka datang untuk menikmati kehijauan tetapi boleh pula membuang sampah di kawasan yang boleh dianggap baki paru-paru bandar raya.

Sampah plastik juga banyak ditemui di pinggir tasik Taman Eko Rimba Kota Damansara. Tentulah bukan binatang yang lakukan. Bukan juga kerja monyet di Hutan Simpan Kota Damansara itu.

Melihatkan jenis buangan termasuk kotak rokok, manusia sampah yang membuangnya merentas usia dan jantina. Sukar untuk faham mentaliti manusia begini. Mereka sukakan keindahan tapi mereka juga merosakkan keindahan.

Dasar tasik itu masih subur dengan hidupan tumbuhan air. Ada spesies rumpai air yang pucuknya berwarna merah kehijauan. Namun, jika terlalu banyak sisa buangan plastik termendap di dasarnya, pastilah tumbuhan akuatik itu akan terancam untuk jangka panjang.

Tidak jauh dari tasik itu, terdapat Sungai Kembit dan Sungai Tambul yang mengalir dengan permukaan dasar dan tebing sungai sudah dikonkrit.

Meskipun airnya mengalir jernih kerana tiada operasi kilang yang berdekatan, kandungan nutrien, bahan organik dan oksigen terlarut di kedua-dua sungai itu nampaknya semakin terjejas dengan pembuangan sampah plastik. Itu yang tampak di mata. Bagaimana dengan kandungan racun terlarut?

Sungai Kembit dekat jajaran MRT Stesen Kwasa Damansara juga menjadi ‘tong sampah’ oleh manusia tidak bertanggungjawab.

Di Selangor yang pesat dan padat penduduk, sampah yang dihasilkan sebanyak 7,000 tan metrik sehari. Itu sehari, kalau sebulan sudah 210,000 tan metrik. Setahun pula sudah menggunung menjadi 2.52 juta tan metrik sampah!

Tahun 2012 lalu, jumlah penjanaan sisa pepejal di negara kita sudah mencecah 33,000 tan setiap hari. Itu mengikut Kajian Komposisi dan Sisa-sisa Pepejal 2012.

Sebanyak 45 peratus atau 14,850 tan adalah sisa makanan, diikuti sampah seperti plastik (42.9% atau 14,157 tan) dan lampin pakai buang (12.1% atau 3,993 tan).

Kalau sisa makanan bersifat organik dan boleh lerai, berbeza sebaliknya dengan sampah plastik yang membentuk hampir 43 peratus sisa pepejal pada tahun 2012.

Itu statistik tujuh tahun lalu ketika majoriti golongan muda belum ‘gila’ dengan teh boba atau bubble tea yang juga menyumbang sisa plastik.

Sementara anda menunggu di lampu merah pada lampu isyarat cuba lihat ke luar cermin kereta, pasti mata mudah saja terlihat bekas minuman plaastik teh boba ini.

Krisis sampah bukan sahaja berlaku di Libya. Sampah dengan komponen besarnya adalah sisa plastik sedang membanjiri perairan negara dan dunia.

Jadi, kurangkan penggunaan plastik. Amalkan konsep 4R iaitu Reduce, Reuse, Recycle dan Refuse. Didiklah diri anda dan ahli keluarga masing-masing supaya bawa pulang sampah plastik masing-masing dan buang di tong sampah. Plastik sampah itu pula, sila ikat.

Kalau beli barang dan tangan kanan dan kiri masih boleh pegang barangan dibeli hanya untuk membawa barang ke kereta atau motor, tidak perlu minta plastik di kaunter juruwang.

Bungkusan plastik yang masih boleh diguna semula gulung lipat kumpul ikut saiz supaya mudah diguna semula. Plastik yang rosak juga digulung lipat buang dalam tong sampah. Di restoran atau warung, beritahu saja pembantu kedai, “jangan bagi straw ye” selepas memesan minuman sejuk.

Kalau terasa segan nak cakap begitu, pesan saja air suam. Lebih sihat. Muka pun tidak mudah gemuk kerana kandungan gula. Apa lagi kalau keturunan sudah ada penghidap diabetes.

Selamatkan alam sekitar dan hidupan laut. Jangan kita berterusan jadi penyumbang kepada timbunan plastik yang berakhir di lautan yang kini sudah sedia tenat dengan 15 hingga ke 51 trillion kepingan plastik dari Kutub Utara ke Kutub Selatan, dari permukaan bumi sehinggalah ke dasar laut!

Straw plastik dan cebisan plastik pelekat pada lampin pakai buang ini ditemui di sepanjang kira-kira 100 meter pantai Tanjung Gemuk, Port Dickson akhir tahun lalu.