Sampai bila AMANAH dan Pas mahu saling mengata, kata perwakilan Perlis

Ismail Ahmad

Wakil Perlis, Ismail Ahmad mengucapkan tahniah kepada sahabat kaum india dan Cina kerana sanggup menjadi ahli AMANAH hatta menjadi perwakilan dan pemerhati.

“Mereka sanggup untuk berada dalam parti yang berjuang atas dasar Islam,” katanya.

Menurut beliau, walaupun Perlis sebuah negeri kecil dan hanya mempunyai tiga kawasan parlimen dan 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan penduduk berjumlah 200,000 orang, negeri itu tidak boleh dipandang ‘sebelah mata’.

Dalam ‘roadshow’ Harapan Baru yang membawa kepada penubuhan AMANAH, Perlis ujar beliau menjadi antara negeri yang dikunjungi para pemimpin yang diketuai Mohamad Sabu.

Kini terdapat lima orang pemimpin AMANAH yang berasal daripada Perlis antaranya Pengarah Syariah Ustaz Zolkharnain Abidin dan Setiausaha Agung Mohd Anuar Tahir.

Oleh itu, beliau mahu Perlis tidak dipandang remeh.

Menyentuh tentang kesediaan rakyat untuk melakukan perubahan politik, beliau berkata rakyat mendambakan perubahan yang dirahmati.

Beliau menarik perhatian terhadap tekanan hidup yang dihadapi petani dan nelayan.

Sehubungan itu, pemimpin AMANAH dan PH perlu memikirkan sumbangan dan tawaran kepada rakyat negeri itu bagi memberi kesedaran kepada mereka untuk menyokong PH.

“Di Perlis petani terpaksa berhadapan tekanan hidup yang cukup tinggi. Potongan padi jejaskan petani, harga diesel jejaskan nelayan,” ujarnya.

Ismail juga mahu pemimpin AMANAH agar kerap turun ke Perlis bagi membantu PH melakar perubahan di negeri utara Semenanjung itu.

Beliau turut melontarkan persoalan sehingga bila AMANAH dan Pas akan saling kata mengata dan perli memerli sedangkan kedua-duanya adalah parti Islam.

Oleh itu beliau menyarankan pemimpin AMANAH untuk mencari jalan bagaimana dua parti ini boleh duduk semeja dan berunding.

“Walaupun berbeza fahaman politik dan pilihan raya, pemimpin perlu memikirkan sampai bila dua parti Islam ini nak bertembung,” katanya yang juga bekas ahli Pas.

AMANAH Perlis katanya menyokong penuh pidato presiden.

Perbahasan Pidato Presiden oleh wakil terlibat bersambung pada esok dengan dimulakan dari Selangor diikuti Wanita Muda (Warda), Wilayah Persekutuan dan Terengganu.

Selanjutnya, sesi perbahasan diteruskan oleh wakil Pulau Pinang dan tuan rumah, Kedah Darul Aman.

Konvensyen AMANAH Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini ditangguhkan pukul 6 petang hari ini dengan kesemua pimpinan dan perwakilan bergambar kenangan.

Pemimpin dan perwakilan AMANAH bergambar ramai.

CATEGORIES
TAGS