Malaysia Dateline

Sampai bila nak mainkan slogan ‘hidup Melayu’ sedangkan pemimpin Melayu yang korup

Wahai Melayuku, bangkitlah dari lamunan slogan ‘Hidup Melayu’ dan ‘Melayu-Islam terancam’ yang sering meniti di bibir pemimpin-pemimpin Melayu yang korup serta menyelewengkan wang negara. 

Demikian seruan Pengerusi Jawatankuasa Manifesto AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria yang menzahirkan nasihat supaya slogan-slogan sedemikian tidak lagi dimainkan, sebaliknya Melayu harus bangkit dan tinggalkan lamunan-lamunan itu. 

Apa lagi dengan isu penyelewengan dana yang hangat diperkatakan tatkala ini melibatkan pembelian kapal tempur pesisir TLDM (LCS) yang mana dananya telah pun dikeluarkan mencecah bilion ringgit, namun bayangan LCS tidak langsung menjadi realiti sehingga kini. 

“Kita sebagai rakyat negara ini membayar cukai pendapatan sehinggakan ada yang membuat potongan gaji secara bulanan sebagai sumbangan dan tanggungjawab kepada negara yang kita cintai. 

“Manakala kerajaan pula bertanggungjawab mengurus dan mentadbir cukai pendapatan tersebut melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan cukai-cukai yang dikenakan adalah bagi memastikan aset-aset kerajaan sentiasa mencukupi bagi pembangunan dan keselamatan negara serta juga untuk kesihatan, pendidikan dan latihan untuk rakyat. 

“Ini merupakan sumbangan dan kebajikan kita sebagai rakyat setiap bulan bagi kelangsungan serta kestabilan negara dan kerajaan,” ujar beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Malah kata Dr Zaidi lagi, apabila sumbangan dan kebajikan ini disalahguna dan diselewengkan, maka ia menjadi tanggungjawab rakyat untuk bersuara dan menzahirkan kekecewaan mahu pun kebimbangan yang jelas semakin ketara dan terserlah. 

Tegasnya, penyelewengan dana pembelian kapal LCS tersebut tidak jauh bezanya dengan kes 1MDB-SRC yang hilang tanpa kesan dan lenyap begitu sahaja, sedangkan pelakunya yang diamanahkan mengurus wang rakyat ini tiada apa-apa kesan kepada mereka sehinggakan masih lagi bebas dan bermaharajalela. 

Sejajar dengan itu kata beliau, tidak harus dilengahkan lagi tindakan terhadap yang salah laku dan rakyat sedang meneropong dengan serius sebagai senjata untuk menyahkan pimpinan dan parti sedemikian dari terus dibiarkan merosakkan negara menjelang pilihan raya umum ke-15 yang akan datang. 

Baca juga: ANALISIS: LCS kini jadi bahan jenaka, bahkan penghinaan kepada institusi Raja-raja Melayu

Baca juga: Siapa pengkhianat sebenar kepada orang Melayu?