“Sampai di hospital saya terus bertanyakan cucu, tak sangka mereka ‘pergi’ serentak” luah bapa mangsa kemalangan

Oleh KIM SYAZIE

Sepasang suami isteri bersama anak lelaki dilaporkan maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan lori yang sedang menjalankan kerja pembaikan di lebuh raya.

Bapa kepada mangsa kemalangan maut, Zubaidah Abd Rajak ketika ditemui pemberita memberitahu, dia tidak menyangka akan kehilangan anak, menantu dan cucu secara serentak dalam nahas tersebut.

Memetik Kosmo! ketika kejadian berlaku, bapa mangsa, Abdul Rajak Sakiman, 66, memaklumkan bahawa mereka sekeluarga termasuk mangsa pada awalnya merancang untuk berkelah di Port Dickson.

Bagaimanapun bapa mangsa berasa tidak sedap hati selepas menunggu beberapa ketika tetapi kelibat kenderaan anak mereka masih belum terlihat di pantai berkenaan.

“Kakaknya sempat berjumpa dengan arwah Zubaidah sekeluarga di Plaza Tol Skudai. Dia (kakak arwah) dakwa melihat ‘air’ muka adiknya lain dan mereka kemudiannya meneruskan perjalanan.

“Pukul 1 tengah hari tadi, kami mula berasa tidak sedap hati kerana arwah Zubaidah tidak sampai.

“Tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali yang memaklumkan anak saya terlibat kemalangan,” katanya.

Arwah Zubaidah dan suami, Muhammad Nazirul Syafiq Azmi, 28, serta anak mereka, Muhammad Rizqi, setahun meninggal dunia selepas kereta jenis Honda Jazz yang dinaiki merempuh sebuah lori di Kilometer 216, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini, pagi tadi.

Pada masa sama, bapa mangsa memberitahu dia ada mendapat ‘petanda’ mengenai pemergian anak dan menantunya apabila bermimpi pasangan itu memakai baju berwarna hitam dan putih dua minggu lalu.

Bagaimanapun dia tidak menceritakan mimpi itu kepada ahli keluarganya kerana menganggapnya sebagai ‘mainan’ tidur.

“Apa-apapun saya reda, ini sudah kententuan. Sampai sahaja di hospital, saya terus bertanyakan keadaan cucu. Tak sangka mereka semua ‘pergi’ serentak,” katanya.