Malaysia Dateline

Mohd Azmi Abdul Hamid

Sampai masanya gaji eksekutif GLC dihadkan

Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid berpandangan “perubahan drastik” perlu dilakukan kerana selama ini cara pelantikan dan gaji pengarah GLC tidak mengikut prosedur yang munasabah.

Katanya, pelantikan kroni melalui politik, penentuan gaji dan pelbagai elaun yang keterlaluan tinggi seperti didedahkan dalam beberapa GLC sangat tidak beretika.

Sebagai syarikat yang dikaitkan dengan kerajaan, katanya, asas penentuan gaji ahli pengarah tidak sepatutnya melebihi had yang munsabah.

“Kerajaan mengguna wang rakyat untuk melabur dalam syarikat, oleh yang demikian tidak boleh diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk menentukan gaji ‘super’ lumayan untuk CEO mahupun ahli pengarah syarikat.

“Dengan gaji dan elaun yang keterlaluan tinggi, ia dilihat semacam suatu skandal. Jurang antara pekerja yang dibayar gaji paling rendah dan pengarah yang dibayar elaun paling tinggi dalam sebuah GLC, ia dilihat sebagai amalan sistem kapitalis yang ditaja atas nama kerajaan,”tegas beliau.

Tambah beliau, sejujurnya sebab gaji CEO dalam syarikat kerajaan dibayar sedemikian tinggi kerana ketua korporat adalah sekelompok elit yang melihat diri masing-masing layak menduduki posisi dalam lembaga pengarah, menaikkan elauntanpa justifikasi yang munsabah dan merasa bahawa mereka berhak berbuat demikian.

“Adakah mereka merasa malu mengaut elaun tinggi diluar logik sementara pekerja dibawah berkeringat untuk hidup sekadar cukup, jawapannya tidak,”katanya.

Menurut Azmi, dengan elaun jutaan setahun untuk ahli pengarah, syarikat GLC itu menanggung kos operasi yang merugikan kerajaan dan pada hakikatnya merugikan rakyat.

“Kami menuntut ketelusan semua syarikat GLC kerana tidak boleh dinafikan banyak agensi kerajaan yang wujud pertindihan fungsi dan banyak lantikan politik tanpa merit,”ujarnya.

Justeru, katanya, kepentingan negara perlu diutamakan supaya keyakinan rakyat terhadap urustadbir korporat yang diamalkan kerajaan tidak dipertikaikan.

“Bagi kami langkah menyemak semula gaji pengarah syarikat GLC tidak harus dilakukan hanya kerana negara sedang berdepan dengan hutang kerajaan yang tinggi, malah ia perlu dilakukan kerana uruskelola korporat yang beretika harus dilihat sebagai beban amanah dari rakyat yang perlu disempurnakan.