Malaysia Dateline

Sampai sekarang tiada maklumat lengkap perolehan vaksin Covid-19, kata Anwar

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan perlu telus dan memastikan tiada ketirisan berlaku dalam pengurusan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).

Ketika membahaskan RUU KWAN) (Pindaan) 2021 hari ini, beliau berkata, dana KWAN adalah wang untuk generasi akan datang.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau tidak mahu dana KWAN ini menyebabkan generasi akan datang menanggung hutang yang tinggi akibat kesilapan generasi masa sekarang.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson tersebut, pengurusan dana itu perlu dipastikan cekap, tidak ada ketirisan dan pembaziran serta mempunyai tatakelola yang ketat termasuk dalam hal berkaitan perolehan vaksin Covid-19.

“Sampai sekarang kita tiada maklumat yang lengkap dan teliti tentang kos vaksin dan juga perincian kaedah perolehannya,” katanya yang juga Presiden PKR.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan, kos perolehan dana KWAN ini tidak boleh didedahkan kepada umum secara terperinci.

Walau bagaimanapun, katanya, ia sudah didedahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang negara (PAC) dan memberitahu apa yang sudah dibelanjakan.

“Apa yang kita buat ini selaras dasar yang dibuat di negara lain bahawa perincian kontrak tidak boleh didedahkan begitu juga perincian kos.

“Namun, perolehan vaksin melalui rundingan terus tanpa pihak ketiga atau tiada konsep orang tengah dan tiada manipulasi harga sebaliknya bergantung kepada nilai semasa dan kadar tukar wang asing,” katanya.

Zafrul memberitahu mengikut Seksyen 6, Akta KWAN, penggunaan dana itu adalah terhad dan memerlukan kelulusan Menteri Kewangan hanya untuk maksud perbelanjaan pembangunan.

“Sebarang cadangan perlu dibentang di Kabinet dan hanya boleh digunakan melalui dana terkumpul KWAN,” tambahnya lagi.